KOTA BHARU – Tiada panggilan kerja sepanjang bulan Ramadan menyebabkan rata-rata buruh kampung tiada pilihan lain sebaliknya menyelongkar tong-tong sampah atau mengutip barangan lusuh di daerah ini bagi membeli juadah berbuka puasa untuk ahli keluarga.
Seorang buruh, Zainudin Ali, 45, berkata, pekerjaannya sebagai pemotong rumput dan mengambil upah membuat rumah terhenti pada bulan Ramadan apabila tiada pihak yang memanggilnya untuk bekerja.
Menurutnya, dia tidak mahu hanya berpeluk tubuh di rumah dan perlu mencari jalan untuk menyediakan makanan di atas meja semasa berbuka untuk isteri dan empat anak berusia enam hingga 15 tahun.
“Saya perlu membuang sifat malu untuk menjadi pengutip barang lusuh. Saya keluar rumah selepas waktu subuh untuk mengutip barangan terbuang seperti kotak atau botol plastik untuk dijual.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya dapat RM50 hingga RM100 sehari dan jumlah itu sudah cukup untuk membeli barangan basah dan lauk-pauk berbuka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kawasan pembuangan sampah di Pasir Tumboh di sini baru-baru ini.
Zainudin memberitahu, ada beberapa tong sampah yang disediakan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menjadi lokasi utama dia mencari barangan lusuh kira-kira 20 minit setiap hari.
“Kesemua botol, kotak dan tin aluminium akan dibawa pulang ke rumah dahulu sebelum disusun untuk dijual di premis barangan lusuh.

“Kebiasaannya, botol plastik dijual pada harga 40 sen sekilogram, manakala kotak pula 35 sen sekilogram dan besi 20 sen sekilogram. Setakat ini, mengutip barangan lusuh sudah cukup untuk menampung kehidupan saya dan keluarga,” katanya.
Menurutnya, wang jualan barangan lusuh itu juga menjadi sumber utama untuk dia membeli kelengkapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Zainun Ahmad, 40, berkata, tiada apa yang hendak dimalukan dengan bekerja sebagai pengutip barangan lusuh kerana ramai lagi golongan kurang berkemampuan melakukan kerja yang sama dengannya di Kota Bharu.
Menurutnya, dia mencuba nasib dengan menunggang motosikal bersendirian ke lokasi pembuangan sampah dan mengumpul barang terbuang seperti botol plastik, tin dan kotak untuk dijual.
“Ramai golongan asnaf terpaksa mencari rezeki dengan kaedah itu kerana ia merupakan satu cara mudah untuk memperoleh wang tunai secara harian,” jelasnya.
Bagi Razman Ali, 57, dia mengakui bahawa lokasinya mengutip barangan terbuang di sebuah kawasan di daerah ini sudah habis diselongkar ramai individu yang senasib dengannya sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan persaingan apabila ada sanggup keluar seawal pukul 4 pagi pergi ke tong-tong sampah besar di beberapa kawasan utama di bandar Kota Bharu.
“Ramai individu yang mengambil peluang menyelongkar tempat pembuangan sampah untuk mencari barang lusuh kerana mereka rasa kerja paling mudah untuk mencari wang.
“Ada yang datang dari daerah lain seperti Pasir Mas, Tumpat dan Bachok untuk mencari barang lusuh di Kota Bharu semasa bulan Ramadan. Kami terdesak apabila tiada panggilan kerja ketika ini. Jadi, ini sahaja cara yang ada,” katanya.














