fbpx

Hospital di Khartoum lumpuh akibat pertempuran berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asap tebal dilihat di sekitar bangunan kediaman di Khartoum, 16 April lalu. - AFP

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru agar pihak terlibat dalam konflik di Sudan menyediakan akses kepada kemudahan perubatan untuk semua penduduk yang memerlukan.

Menurut laporan akhbar Arab News, WHO turut memberi amaran bahawa bekalan ubatan dan kakitangan perubatan di bandar ibu negara, Khartoum semakin berkurangan.

“Semua pihak mesti memastikan akses tanpa had dan selamat ke kemudahan kesihatan untuk mereka yang cedera serta semua orang yang memerlukan rawatan perubatan,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada satu taklimat akhbar.

Kenyataan itu dibuat sejurus selepas komander tentera yang saling bertelingkah bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama 24 jam mulai kelmarin selepas mendapat tekanan daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berhubung pertempuran yang melanda bandar Khartoum.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan di Sudan termasuk sistem kesihatannya yang hampir lumpuh.

Tedros berkata, beberapa hospital telah ditutup atau hampir ditutup disebabkan serangan dan masalah kekurangan kakitangan serta bekalan perubatan. 

“Ada antara kemudahan kesihatan dirompak dan yang lain digunakan untuk tujuan ketenteraan.

“Bekalan yang diagihkan kepada kemudahan kesihatan juga telah kehabisan manakala hospital di Khartoum melaporkan kekurangan kakitangan serta bekalan perubatan untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

Dalam ulasan berasingan, WHO menyatakan ia mendokumentasikan tiga serangan terhadap kemudahan penjagaan kesihatan sejak pertempuran meletus di Sudan, satu daripadanya mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga orang terkorban.

“Serangan terhadap penjagaan kesihatan adalah pelanggaran undang-undang kemanusiaan dan hak-hak untuk kesihatan justeru, ia mesti dihentikan sekarang,” kata jurucakap WHO, Margaret Harris.

Tambah Harris, bekalan elektrik yang terputus menyebabkan kesukaran untuk memberikan perkhidmatan asas.

“Amat berbahaya bagi sesiapa sahaja untuk bergerak ke mana-mana yang mana ia turut menyukarkan kakitangan untuk pergi ke hospital,” ujarnya.

Pemimpin Angkatan Tentera Sudan, Abdel Fattah Al-Burhan dan Ketua Pasukan Sokongan Pantas (RSF), Mohamed Hamdan Dagalo yang terlibat dalam pertempuran itu, saling menuding jari kerana mencetuskan kekacauan yang merebak di seluruh negara itu sejak Sabtu lalu. 

Abdel Fattah menuduh Mohamed Hamdan cuba melancarkan rampasan kuasa manakala Mohamed Hamdan pula menggelar seterunya itu sebagai penjenayah.

Dalam pada itu, Kesatuan Sekerja Doktor Sudan memberitahu stesen penyiaran CNN bahawa sekurang-kurangnya enam hospital telah diserang oleh kedua-dua pihak yang bertelagah.

“Kebanyakan hospital besar dan khusus tidak beroperasi akibat dipindahkan secara paksa oleh pasukan tentera atau menjadi sasaran pengeboman dan lain-lain,” kata Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.

Sementara itu Doctors Without Borders berkata, ahli-ahlinya terkandas oleh pertempuran berterusan dan tidak dapat membawa bekalan perubatan yang penting ke hospital-hospital. Beberapa kemudahan di Nyala dan Sarfur Selatan pula telah dirompak.

“Tiada bekalan elektrik atau air dalam hospital. Semua peralatan perubatan tidak berfungsi. Seorang wanita berlindung bersama kami dan dia mempunyai bayi berusia dua hari. Saya tidak tahu apa nasibnya sekarang,” kata seorang doktor.

“Percayakan anda bahawa kami terpaksa meninggalkan hospital dan kanak-kanak yang masih berada dalam inkubator serta pesakit unit rawatan rapi tanpa sebarang kakitangan perubatan?” ujar seorang doktor lain. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI