fbpx

UTM hantar 650 penuntut balik raya ke 11 negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZLAN beramah mesra dengan para penuntut UTM sebelum berlepas dengan menaiki bas untuk pulang beraya sempena Jom Balik Raya UTM di UTM, Skudai Johor Bahru malam semalam.

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan perkhidmatan bas ekspres bagi membolehkan seramai 650 penuntut mereka untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Program Jom Balik Raya 2023 anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM itu dilaksana dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP), UTM Fleet dan barisan Persatuan Anak Negeri UTM.

Pengarah Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar JTNCHEP, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib berkata, untuk menjayakan program itu, sebanyak 17 buah bas digunakan meliputi 11 negeri di Semenanjung.

Katanya, bas yang disediakan melibatkan tiga bas UTM Fleet, 13 bas syarikat luar dan sebuah bas Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata).

“Selain itu, kita juga mendapat kerjasama daripada pertubuhan Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak) dan Sekretariat Mahasiswa Negeri Sembilan (Semanis).

“Program ini bertujuan membantu penuntut yang tidak sempat membeli tiket untuk pulang. Semua bas itu berlepas pada pukul 10 malam tadi daripada Dataran UTM Skudai, di sini,” katanya kepada pemberita.

Tambah beliau, program tersebut telah mula dilaksanakan UTM sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksana ketika tempoh pandemik Covid-19 lalu.

Sementara itu, Menurut penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Alif Asyraf Mazlan, 20, dia pada mulanya berasa bimbang tidak sempat balik beraya kerana kehabisan tiket untuk pulang ke kampung halaman di Pasir Putih, Kelantan.

“Tetapi saya rasa lega dan gembira apabila dimaklumkan pihak universiti ada menyediakan bas untuk penuntut, sekarang saya sudah tidak sabar mahu pulang ke kampung. Ini kali pertama saya pulang ke rumah sebagai seorang perantau, jadi saya berasa teruja,” katanya yang merupakan pelajar tahun pertama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI