fbpx

TBS meriah, ramai balik kampung saat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan di terminal TBS hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Berbaki dua hari lagi umat Islam menyambut Aidilfitri, orang ramai semakin sibuk meninggalkan ibu kota untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Orang ramai dipercayai mengambil peluang untuk pulang ke kampung awal berikutan cuti sekolah bagi menyambut perayaan Aidilfitri yang bermula hari ini.

Tinjauan Kosmo! di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan di sini mendapati suasana di terminal tersebut masih sesak, namun terkawal dan urusan pembelian tiket juga berjalan lancar.

Seorang suri rumah, Nor Hasimah Abdullah, 47, berkata, dia mengambil peluang pulang ke kampung hari ini bersama dua orang anaknya berikutan anak-anak sudah dibenarkan untuk bercuti hari ini.

“Suami saya akan pulang ke kampung pada malam raya kerana perlu bekerja. Jadi, kami ambil keputusan untuk pulang terlebih dahulu ke kampung kami di Kuala Terengganu.

“Kami memang teruja mahu pulang ke kampung menaiki bas kerana suasana lebih meriah. Alhamdulillah kami dapat membeli tiket bas dua minggu lebih awal,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, seorang graduan, Syazana, 20, berkata, dia terpaksa beraya di Johor pada tahun ini berikutan harga tiket untuk pulang ke Sabah agak mahal.

“Saya tak dapat nak beli tiket penerbangan lebih awal kerana risau bertindih dengan kuliah. Jadi, harga tiket ke Sabah agak mahal mencecah hingga RM1,000 jika dibeli saat akhir.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dapat beraya tahun ini dan tak sabar untuk pulang ke kampung,” katanya.

Dalam pada itu, pereka grafik, Mohd. Hisham Mohd. Ali, 31, berkata, dia memilih untuk balik ke kampung menaiki bas pada tahun ini kerana tidak mahu tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas.

“Tahun lalu saya tersangkut dalam kesesakan lalu lintas lebih lapan jam menghala ke Pantai Timur. Jadi, tahun ini saya ambil keputusan balik ke kampung menaiki bas.

“Lebih-lebih lagi tahun ini orang ramai berebut balik kampung awal kerana bimbang raya mengejut seperti tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, umat Islam di negara ini dijangka menyambut perayaan Aidilfitri pada Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI