fbpx

Pewaris UPSI sediakan 2,200 balang kuih raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Amin (tengah) bersama Timbalan Presiden Peja, Dr. Nazre Abdul Rashid (kanan) turun padang membantu Pewaris menyediakan kuih raya untuk diedarkan kepada semua kakitangan UPSI.

TANJUNG MALIM – Persatuan Wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (Pewaris) mengadakan program rewang sempena Aidilfitri yang akan disambut minggu ini dengan menyediakan juadah hari raya untuk semua kakitangan universiti itu di sini kelmarin.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, penyediaan juadah itu turut dijayakan oleh gabungan kesemua persatuan dan kesatuan pekerja yang dikenali sebagai Jalinan Ikatan Persatuan dan Kesatuan Kakitangan UPSI (Jitu).

“Ia membabitkan Persatuan Kakitangan Akademik (Peka), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Prestasi) dan Kesatuan Pegawai Am (KPA) sebagai simbolik kekitaan dan kekeluargaan warga universiti berkenaan.

“Saya berasa bangga atas gabungan dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan program ini. Ia merupakan suatu kejayaan dalaman bagi sesebuah organisasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 2,200 balang biskut berjaya dihasilkan menerusi agihan tugas kepada setiap kumpulan.

Sementara itu, Penaung Pewaris, Datin Pazilah Yahaya berkata, penyediaan kuih raya itu dilakukan sepenuhnya oleh kakitangan UPSI dengan penggunaan bahan mentah sekitar 120 kilogram (kg) coklat, 100kg empingan jagung dan 10kg mentega.

“Saya memanjatkan rasa kesyukuran dan menyifatkan objektif penganjuran ini tercapai apabila kelihatan ramai kakitangan dari pelbagai jabatan menyertai gotong-royong ini.

“Saya berharap kerjasama semua pihak akan terus terjalin demi kejayaan dan kecemerlangan UPSI,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI