fbpx

Mahkamah: Ketua Pemuda Amanah lepas tanpa bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Hasbie semasa didakwa pada tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Mohd. Hasbie Muda dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung pertuduhan perhimpunan membantah kenaikan harga barang Julai tahun lalu.

Peguam, Faiz Fadzil yang mewakili Ahli Jawatankuasa Amanah itu ketika dihubungi berkata, ia susulan pihak pendakwaan telah menarik balik pertuduhan berkenaan selepas representasi yang dihantar oleh Mohd. Hasbie pada 17 Mac lalu diterima Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sementara itu, pihak pendakwaan turut mengesahkan Mohd. Hasbie dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Pada 18 Ogos tahun lalu, Mohd. Hasbie, 35, didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal memaklumkan kepada polis Daerah Dang Wangi, lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di Masjid Jamek, Kampung Baru, Jalan Raja Alang di sini pukul 2 petang, 1 Julai tahun lalu.

Selain Mohd. Hasbie, turut didakwa Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR Cabang Batu, Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya, 33, dan presiden kesatuan pelajar sebuah universiti awam, Muhammad Aliff Naif Mohd. Fizam, 24.

Muhammad Sabda didakwa melakukan perbuatan sama sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini kira-kira pukul 3.30 petang, 9 Julai lalu tahun lalu.

Muhammad Aliff Naif pula didakwa atas perbuatan tersebut juga di hadapan Kompleks Sogo, kira-kira pukul 2 petang, 23 Julai tahun lalu.

Selaku penganjur perhimpunan, ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Pada 16 Julai tahun lalu media melaporkan pihak polis menasihati orang ramai agar tidak menyertai sebarang aktiviti `flash mob’ atau perhimpunan yang tidak mematuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan sebaran video di media sosial yang mengajak orang ramai menyertai flash mob di seluruh negara bagi membantah kenaikan harga barang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI