PETALING JAYA – Dianggarkan lebih 10 juta perantau di seluruh negara akan melakukan migrasi Aidilfitri bermula hari ini sehingga Jumaat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut 1 Syawal yang dijadual pada Sabtu.
Daripada jumlah tersebut, hampir 60 peratus merupakan perantau yang bermastautin di Lembah Klang dengan kebanyakan daripada mereka memilih untuk memandu kenderaan sendiri selain menggunakan pengangkutan darat seperti bas ekspres dan kereta api.
Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 di Sepang turut dipenuhi perantau dari Sabah dan Sarawak yang ingin pulang ke destinasi masing-masing.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, orang ramai memilih untuk pulang ke kampung lebih awal susulan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) yang memberikan cuti tambahan persekolahan bermula esok.
Malah, rata-rata perantau yang mengakui tidak mahu berdepan kesesakan jalan teruk sekiranya memilih untuk pulang lebih lewat iaitu pada Khamis atau Jumaat ini.
Juruteknik kilang di Kapar, Selangor, Saiful Nizam, 41, berkata, dia sudah mengambil cuti lebih awal untuk pulang ke Tanah Merah, Kelantan bersama keluarganya hari ini.
“Semua sedia maklumkan bahawa jutaan perantau akan pulang untuk berhari raya setiap tahun. Saya pula mahu elak kesesakan, tambahan pula anak-anak sudah mula bercuti sekolah. Biasanya, lebuh raya ke Pantai Timur memang sesak setiap kali tibanya musim perayaan.
“Justeru, kesempatan untuk pulang ke kampung lebih awal perlu digunakan sebaiknya,” katanya.
Bagi suri rumah, Siti Mohamad, 30, pula, dia dan suami turut bercadang untuk pulang ke Pulau Pinang hari ini supaya dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga di kampung.
“Kebetulan suami bekerja sebagai guru dan keputusan kementerian mengumumkan cuti pada Rabu ini memberi khabar gembira buat kami.
“Tahun lepas kami hanya beraya di Semenyih yang merupakan kampung suami dan kali ini, giliran saya pula untuk pulang ke Pulau Pinang,” jelasnya.
Sementara itu, Nor Susila Azmar yang kini menetap di Shah Alam, Selangor mengakui, pengalaman menyambut raya mengejut di atas jalan raya tahun lalu cukup memeritkan bagi perantau sepertinya.
Susulan itu, katanya, dia berharap tahun ini orang ramai dapat pulang ke kampung dalam keadaan tenang tanpa perlu tergesa-gesa.
“Sebenarnya, saya sudah serik pulang lewat ke kampung kerana tahun lalu, saya dan adik hanya sampai di kampung di Jeli, Kelantan pada pukul 4 pagi.
“Buat masa ini, saya sudah buat permohonan cuti dan mungkin akan balik dalam sehari dua ini.
“Saya jangka jalan raya akan sesak bermula hari ini kerana sesi persekolahan akan mula bercuti esok,” tambahnya.
Dalam pada itu, Nurul Fatiha Mamat, 28, yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang sekitar Shah Alam, Selangor pula berkata, dia sangat bersyukur kerana permohonan cutinya untuk pulang ke Pasir Mas, Kelantan diluluskan majikan.
“Walaupun tarikh 1 Syawal belum dapat dipastikan, orang ramai tetap mengambil peluang untuk pulang awal ke kampung lebih awal memandang cuti persekolahan juga agak panjang.
“Tahun lalu, kilang tempat kami berkerja tidak benarkan pekerja untuk pulang beraya lebih awal, jadi ramai yang terkandas gara-gara raya mengejut.
“Tahun ini pula, kami dibenarkan pulang awal untuk memberi keselesaan dan mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya,” tambahnya.














