GEORGE TOWN – Kehadiran kira-kira 200 pengemis bermusim di Jalan Masjid Kapitan Keling di sini, bukan sahaja menjejaskan imej kawasan itu, malah turut memberi kesan kepada tahap kebersihan masjid di lokasi berkenaan.
Setiausaha Masjid Kapitan Keling, Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan berkata, sampah daripada sisa makanan dan lauk basi biasanya dilonggok di pekarangan luar pagar dan laluan pintu masuk masjid berkenaan hampir setiap pagi.
Katanya, perbuatan itu dikesan sering dilakukan oleh kumpulan pengemis yang menerima pelbagai bantuan makanan daripada orang ramai terutama pada bulan Ramadan.
“Kami simpati dengan nasib yang menimpa mereka, tetapi sikap pengotor dan suka membuang sampah di luar masjid memang tidak boleh dibawa bincang. Setiap pagi, kawasan ini penuh dengan sampah sarap, longgokan baju terpakai, sisa makanan dan lauk basi.
“Kebanyakan mereka ialah pengemis bermusim, hanya datang ke sini pada bulan Ramadan. Lebih 200 pengemis dikatakan datang dari Yan, Bedong dan Sungai Petani di Kedah selain dari Pulau Pinang.
“Mereka dikatakan akan jemput satu kampung atau jiran tetangga datang ke sini semata-mata mahu mendapatkan bantuan raya dan makanan,” jelasnya.
Beliau berkata, keprihatinan orang ramai dalam bersedekah termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan membuatkan jumlah pengemis semakin bertambah setiap hari.
“Sumbangan makanan memang terlalu banyak. Setiap malam lebih 10 NGO datang menghulurkan makanan sehingga berlaku pembaziran.
“Justeru, kami sarankan kepada kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil pendekatan memperkenalkan kaedah bantuan berjadual menerusi kod QR kepada pemberi bantuan,” tambahnya.














