Orang ramai berpusu-pusu menyerbu dua buah pasar raya di Shah Alam untuk membuat pembelian kelengkapan Aidilfitri pada saat akhir kerana menunggu hari gaji dan promosi daripada peniaga.

Orang ramai tunggu gaji, diskaun beli-belah saat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Mengambil ­peluang diskaun dan promosi di akhir Ramadan dan hari gaji menjadi punca orang ramai membuat pembelian di saat akhir untuk menyambut Aidilfitri di samping boleh berjimat untuk perbelanjaan lain.

Tinjauan di dua buah pasar raya di sini mendapati, premis itu diserbu orang ramai pada hujung minggu yang berpusu-pusu membeli pakaian, kuih, langsir dan kelengkapan lain.

Seorang pengunjung, Nur Asmuniza Ibrahim, 27, berkata, dia gemar berbelanja di minggu-­minggu akhir kerana mudah untuk mendapat tawaran dan promosi daripada peniaga.

“Saya sekeluarga memang suka berbelanja di sini sebab kebanyakan kedai memang menjual pada harga berpatutan dan mudah untuk tawar-menawar.

“Bukan itu sahaja, di minggu-minggu akhir ni, penjual memang suka bagi promosi mengejut, jadi dekat situ, kita boleh berjimat sikit,” katanya kepada Kosmo!

Bagi Saidatul Azmi, 39, dia sudah membeli semua kelengkapan seperti baju, kuih dan kasut raya.

“Alhamdulillah, setakat ni, semua kelengkapan untuk keluarga dan anak-anak semua dah ada walaupun sedikit lambat,” katanya.

Menurutnya lagi, dia juga terpaksa membeli di saat-saat akhir kerana menunggu gaji.

“Saya membeli pada saat akhir kerana menunggu gaji sebab raya di pertengahan bulan jadi susah sikit nak bajet,” luahnya.

Sementara itu, peniaga baju kurung, Nur Hartini Ahmad, 45, berkata, jualan kali ini agak suram mungkin disebabkan waktu persekolahan dan perayaan datang serentak.

“Ini semua mungkin kerana orang ramai berjimat kerana musim persekolahan dan pe­rayaan selain faktor gaji di pertengahan bulan,” katanya.

Sementara itu, di Ipoh, faktor yang sama diberikan oleh pe­ngunjung yang membeli pada saat akhir.

Rata-rata mereka berpanda­ngan perkara itu berlaku setiap tahun apabila diskaun itu ditawarkan untuk peniaga menghabiskan stok baju Melayu dan kurung pada harga RM100 hingga RM150 sepasang.

Seorang pengguna, Nur Maisarah Razali, 32, membeli saat akhir terutama malam raya amat me­nguntungkan.

“Biasanya peniaga akan menawarkan diskaun sehingga 50 peratus. Ia menguntungkan jika dibanding membeli sebelum Ramadan atau di awal bulan puasa,” katanya.

Bagi Mohd. Ruzainy Roslan, 34, pula, dia tidak kisah berebut-rebut baju raya pada malam ter­akhir kerana ia berbaloi.

“Sesetengah orang mahu membeli baju raya dengan warna sedondon dengan ahli keluarga, namun saya dan isteri tak kisah tentangnya. Kami lebih rela berjimat dan beli sahaja pakaian yang dijual pada malam terakhir Ra­madan,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga baju Melayu, Hamdan Isa, 53, mengakui, jadi tidak sabar mahu menjual pakaian pada malam terakhir Ramadan kerana bisnes terlalu perlahan.

“Bagi saya, jika peniaga nak untung dan habiskan jualan, malam terakhir Ramadanlah waktunya. Biarlah diskaun diberi lebih 50 peratus sekalipun, asalkan stok baju raya habis dijual,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN