TIDAK menyimpan waima secebis rasa dendam terhadap bekas suami, Ziana Zain sentiasa mengingatkan empat anaknya supaya sentiasa melayani bapa mereka dengan baik walau dalam apa jua keadaan.
Dia sentiasa mengingatkan bahawa apa pun terjadi melibatkan dirinya dengan mantan suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri tidak mengubah realiti bahawa lelaki itu tetap bapa kepada empat anaknya.
Ziana Zain atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain berkata, kehidupannya kini bahagia biarpun di sampingnya tiada lagi sosok seorang lelaki bernama suami.
Apa yang lepas, biarlah berlalu. Tidak mahu khilaf pada waktu lampau dijadikan pengukur kepada apa yang akan berjalan pada masa hadapan. Itu pegangan seorang insan bernama Ziana Zain.

‘Selalu ingatkan anak’
“Selalu saya ingatkan anak-anak sama ada sudah telefon bapa mereka atau belum. Saya tiada apa-apa dah, anak-anak sahajalah yang ada.
“Setiap minggu kena tanya keadaan bapa. Apa-apa pun, dia tetap bapa mereka (anak-anak),” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
Tiada gunanya menyimpan dendam, namun buatnya, itu tidak bermakna cinta buat suami kembali bersemi. Pelantun lagu Dingin itu berkata, buat masa sekarang, dia lebih selesa solo tanpa bergantung dengan mana-mana lelaki.
“Saya begini sahajalah. Saya sangat selesa dengan keadaan sekarang. Nak buat apa-apa, saya sendiri buat pilihan.
“Berkenaan bekas suami, saya dah maafkan sejak dahulu. Tak kira siapa pun. Kawan, saudara atau siapa sahajalah. Saya sentiasa memaafkan.
“Sebab kalau tak maafkan, kita akan bawa benda itu sampai akhirat nanti. Saya tak mahu. Saya nak hati dan fikiran jadi lapang.
“Bagi saya, memori tetap memori. Kita tak boleh padam. Tapi, kita jalani masa depan dengan cara yang positif.
“Anak-anak saya selalu jumpa bapa mereka. Kalau orang tak bagi jumpa bapa kita, bagaimana? Marah tak kita? Jangan buat begitu, berdosa,” katanya lagi.
Getus Ziana, hubungan antaranya dengan bekas suami adalah disebabkan anak-anak dan bukanlah atas alasan ingin berbaik semula seperti dilaporkan sebuah blog.

‘Lain cerita, lain keluar’
Jelas Ziana, 55, artikel ditulis blogger tidak dikenalinya itu bukan sahaja menimbulkan keraguan dalam kalangan keluarga dan rakan, tetapi menyusahkan dirinya.
“Banyak cerita yang ditulis, lain saya cakap, lain keluar. Malah, ada yang ucap tahniah kepada saya.
“Saya tanya kembali ucapan tahniah untuk apa? Seawal pukul 7.30 pagi saya terima mesej daripada keluarga dan rakan-rakan yanmg bertanyakan sama ada betul saya sudah berbaik dengan bekas suami.
“Jangan pusing-pusing cerita sampai buat orang keliru. Dua tiga hari ini kerja saya hanyalah menjawab pertanyaan keluarga dan rakan-rakan mengenai kesahihan laporan ditulis.
“Kita dalam bulan puasa. Bila keluar cerita seperti ini, ada yang menyokong dan ada pula mengecam.
“Jangan tulis apa yang saya tidak cerita. Sebab saya ada anak-anak, nanti kalau mereka tanya, saya nak jawab apa kepada mereka. Tolong hormati perasaan anak-anak saya,” ujarnya.

Konsert raya
Dalam pada itu, Ziana turut berkongsi keterujaan bakal mengadakan persembahan di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bersempena Konsert Raya Sepanjang Zaman yang dibawakan khas Orkestra Filharmonik Malaysia atau Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) pada 6 Mei depan.
“Memang menjadi impian saya untuk menyanyi di DFP. Dapat nyanyi sebuah lagu pun jadilah. Tetapi Tuhan beri rezeki untuk saya menyanyi banyak lagu.
“Ini julung kali saya menyanyi bersama orkestra yang diiringi 60 pemuzik. Sebelum ini, saya pernah menyanyi bersama Orkestra Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun cuma bersama lapan pemuzik sahaja.
“Pasti ini akan memberi pengalaman lebih menarik. Susunan muzik akan jadi lebih besar, sama juga dengan tenaga yang bakal mereka salurkan,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri konduktor konsert tersebut, Ahmad Muriz Che Rose.
Konsert Raya Sepanjang Zaman bukan sahaja melakar sejarah peribadi buat penyanyi bersuara lantang itu, malah memberi nilai tambah dalam portfolio seninya apabila bakal berkongsi pentas dengan penyanyi bertaraf legenda.
“Rasa teruja dan adrenalin dalam tubuh ini mengalir deras apabila mendapat tahu saya bakal berkongsi pentas dengan penyanyi legenda seperti Datuk Hail Amir dan Sanisah Huri.
“Bayangkan, sejak di bangku sekolah lagi saya sudah mendengar lagu raya mereka. Malah, tidak lengkap rasanya sambutan raya andai lagu mereka tidak diputarkan.
“Justeru, apabila dapat tahu bakal berganding dengan mereka, saya hilang kata-kata,” ujar anak seni kelahiran Merlimau, Melaka itu teruja.
Peminat yang ingin menyaksikan Konsert Raya Sepanjang Zaman boleh mendapatkan maklumat dalam laman sesawang rasmi, www.mpo.com.my.
Selain menyanyikan lagu raya sendiri berjudul Indah Di Hari Raya, Ziana akan menyanyikan dendangan Syawal lain yang pernah dipopularkan Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Datuk Sheila Majid.
Selain Sanisah, Hail dan Ziana, Konsert Raya Sepanjang Zaman turut dijayakan penyanyi bervokal mantap, Bob Yusof.

















