fbpx
Gambar hiasan.

Tayang ‘anak sakit’ untuk cari duit media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Terdapat pihak tidak bertanggungjawab dikesan menggunakan platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram untuk menipu dengan mengaut keuntungan hasil sumbangan daripada orang ramai.

Mereka dikesan memuat naik gambar ahli keluarga terutama kanak-kanak yang sakit dan motosikal roak bagi meraih simpati orang ramai seterusnya mema­sukkan wang ke dalam akaun yang disertakan.

Tinjauan di media sosial mendapati daripada 10 hantaran yang dimuat naik, sebahagian besar maklumat yang disertakan boleh diragui.

Antara penipuan yang ­dikesan adalah dengan memuat naik gambar yang tidak jelas selain maklumat yang mengelirukan.

Kebanyakan mereka juga tidak menyatakan jumlah wang yang diperlukan di ruangan kapsyen.

Menjengah di ruangan komen, terdapat pengguna media sosial yang mempersoalkan kesahihan permohonan bantuan itu kerana penerangan yang tidak jelas dan mencurigakan.

“Kalau mahu dibantu, gambar perlu jelas berserta video dan apa tujuannya baru orang percaya,” komen seorang netizen.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Mohamad Sirajuddin Jalil berkata, ramai scammer meminta bantuan di media sosial dengan meletakkan gambar yang bukan milik mereka untuk meraih simpati pengguna media sosial.

Menurutnya, kegiatan tersebut tidak boleh dibiarkan menjadi barah dalam masyarakat kerana terdapat elemen penganiayaan ke atas orang lain.

“Saya pernah terima aduan yang mana ada seorang individu minta bantuan dengan memuat naik foto budak kononnya anak­n­ya, tetapi setelah disiasat rupa-rupanya ia gambar dari sebuah hospital di China.

“Bahkan saya sendiri pernah didatangi orang YANG sama berkali-kali yang minta sumbangan di media sosial. Dia sertakan gambar anak sedang sakit dan sebagainya.

“Individu tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain untuk aktiviti kejahatannya. Sama juga kes minta sumbangan bagi projek yang tidak wujud,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohamad Sirajuddin memberitahu, setakat ini tiada garis panduan jelas daripada pihak berkuasa menyebabkan beribu individu de­ngan mudah meminta sumba­ngan secara online setiap hari.

Ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke­rana orang ramai akan mempersoalkan fungsi jabatan itu dalam membantu mereka yang memerlukan.

“Rakyat Malaysia terkenal dengan sifat pemurah dan ihsan. Sahih atau tidak, letak tepi. Kesannya, ramai yang ditipu.

“Seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mereka lebih jelas dengan mengemukakan bukti ke mana wang disumbangkan.

“Bagi akaun peribadi, kita tidak tahu ke mana wang itu digunakan dan atas tujuan apa,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam kerana menipu de­ngan meminta sumbangan untuk anaknya yang mengidap kanser menerusi aplikasi TikTok.

Penipuan wanita bersama anak lelakinya berusia 28 tahun kononnya untuk ‘anak perempuan’ berusia 33 tahun yang dirawat akibat kanser di India terbongkar selepas diberkas pihak polis.

Polis menemui wang RM110,011 daripada seorang individu yang sepatutnya dihantar Ke India manakala RM268,000 lagi ­ditemui dalam salah satu akaun bank disyaki hasil sumbangan ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN