fbpx

Mahkamah: Azlan Man didakwa terima wang aktiviti haram RM1.06 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlan (baju kameja belang) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta sembilan tahun lalu.

Bagaimanapun Azlan, 65, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Azlan menerima wang hasil aktiviti haram melalui empat keping cek iaitu masing-masing RM208,339 ,RM196,651, RM224,404. dan RM222,811 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. serta seorang wakil individu yang mewakili syarikat Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. menerusi wang tunai RM207,468 yang dimasukkan ke akaun Maybank serta CIMB milik tertuduh.

Kesemua jumlah wang yang diterima itu berjumlah RM1.06 juta.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya, Kementerian Kewangan, Persiaran Perdana, Presint 2 dan Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, Jalan Sultan Ismail di sini antara antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.

Bagi kesemua kesalahan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Azlan diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.

Mahkamah kemudian membenarkan Azlan diikat jamin RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 9 Jun ini bagi sebutan semula kes.

Untuk info Azlan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh pada 2013 hingga 2018, sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lalu, sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pernah memegang jawatan Menteri Besar Perlis dari 2013 ke 2022.

Isnin lalu,  Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar di Perlis atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.185 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI