fbpx

Kapasiti dua empangan di P. Pinang menurun 50 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapasiti efektif empangan Teluk Bahang dan empangan Air Itam di Pulau Pinang kini menurun kepada kira-kira 50 peratus ekoran taburan hujan yang rendah di kawasan berkenaan.

GEORGE TOWN – Kapasiti efektif dua empangan utama di Pulau Pinang iaitu empangan Teluk Bahang dan empangan Air Itam di sini menurun kira-kira 50 peratus ekoran taburan hujan yang rendah di kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K.Pathmanathan berkata, sehubungan itu, pengguna dinasihatkan menggunakan air dengan berhemat sehingga hujan lebat tiba di kawasan itu untuk mengisi semula empangan tersebut.

“Setakat semalam, kapasiti efektif empangan Air Itam adalah pada kadar 51.8 peratus dan empangan Teluk Bahang pula 51.3 peratus.

“Jumlah hujan yang direkodkan di kawasan tadahan air empangan bagi bulan Januari, Februari dan Mac 2023 adalah pada kadar 129 milimeter (mm) bagi empangan Air Itam dan 251 mm bagi empangan Teluk Bahang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, purata penggunaan air harian bagi Pulau Pinang dalam tempoh dua bulan iaitu Januari sebanyak 875 juta liter sehari (JLH) dan Februari pula sebanyak 944 JLH.

“Statistik ini menunjukkan fakta bahawa taburan hujan rendah di kawasan tadahan air (KTA) empangan dan permintaan air yang tinggi merupakan dua faktor utama yang menyebabkan kapasiti efektif empangan Air Itam dan empangan Teluk Bahang menurun,” katanya.

Beliau memberitahu, sebagai respons kepada senario amaran bekalan air ini, PBAPP sedang melaksanakan langkah-langkah kejuruteraan bekalan air antaranya mengoptimumkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda dan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Dua (LRA Sungai Dua).

“PBAPP juga mengepam lebih banyak air terawat dari LRA Sungai Dua ke Pulau Pinang (melalui tiga set saluran paip berkembar dasar laut) untuk menyokong bekalan air di pulau.

“PBAPP meminimumkan pelepasan air mentah dari empangan Air Itam dan empangan Teluk Bahang seboleh mungkin, tanpa menjejaskan perkhidmatan bekalan air,” jelasnya.

Tambahnya, PBAPP juga meningkatkan kawalan cuaca kering untuk mempertahankan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang secara strategik selama mungkin.

“Kami juga menjalankan penjadualan semula kerja-kerja paip berjadual untuk meminimumkan pembaziran air serta memberi respons kepada aduan awam mengenai paip pecah atau bocor secepat mungkin.

“PBAPP menyediakan pelan kontingensi untuk menangani permintaan air di kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (HPA) jika musim kemarau semasa berterusan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI