fbpx

Pengerusi Keda belum dilantik – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) bercakap dengan pemberita di Meru, Ipoh, hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerusi Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) masih kosong memandangkan masih belum ada lantikan terhadap jawatan tersebut.

Beliau berkata, cadangan yang diterimanya bagi individu yang akan menjawat jawatan tersebut akan dibincang dan diteliti semula dengan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Salah satu pengumuman yang belum dihantar surat termasuk cadangan Pengerusi Keda akan kita teliti semula. Jadi belum ada pelantikan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ahmad Zahid baru-baru ini mengumumkan bahawa bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dilantik sebagai Pengerusi Keda.

Pelantikan itu dilakukan bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut yang disandang oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dalam pada itu, Anwar berkata, mana-mana individu yang akan dilantik ke sesebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu mempunyai kelayakan sewajarnya.

“Kalau dia ada kelayakan, kita akan lantik atau telah lantik berdasarkan kelayakan itu. Seperti akauntan, peguam, ia boleh tetapi syarat-syarat kita ketat.

“Kita syaratkan dia jalankan tanggungjawab, tidak boleh belanja lebih daripada yang ditentukan dan elaun-elaun kita hadkan ikut kelayakan masing-masing. Jadi kita harus tengok konteks itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI