fbpx

Tang Jie-Ee Wei raih gelaran Orleans Masters

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengenepikan cabaran wakil Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin untuk muncul juara kejohanan Orleans Masters sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei merangkul gelaran kedua musim ini apabila muncul juara pada Kejohanan Badminton Orleans Masters yang berlangsung di Orleans, Perancis.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Palais Des Sports sebentar tadi, beregu No.26 dunia itu mencatat kemenangan 21-19, 21-17 ke atas wakil Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin dalam tempoh 35 minit.

Kemenangan tersebut pastinya menjadi pembakar semangat buat pasangan sedang meningkat naik itu memandangkan mereka meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris tahun depan.

Tang Jie-Ee Wei yang turun selaku pilihan ketujuh kejohanan terpaksa berhempas pulas di set pertama apabila diberi tentangan sengit pemain lawan sebelum menang 21-19 dalam tempoh 16 minit.

Memasuki set kedua, Hong Wei-Chia Hsin kembali memperkemaskan permainan dan menunjukkan aksi cukup agresif apabila berjaya mendahului 9-2, sekali gus mendapat harapan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei tetap tenang dan menyusun semula permainan untuk mengutip mata demi mata sebelum berjaya menyamakan kedudukan 12-12 seterusnya memuktamadkan kejuaraan dengan kemenangan 21-17.

Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wei merangkul gelaran sulung mereka musim ini ketika memenangi Cabaran Antarabangsa (IC) Iran Februari lalu selain tiga kali mara ke suku akhir pada Terbuka Malaysia, Terbuka Jerman serta Terbuka Switzerland. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI