fbpx

Gangguan seksual ‘bunuh’ atlet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

ISU gangguan seksual kembali hangat apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerima laporan berhubung dakwaan gangguan seksual membabit seorang pelumba wanita negara bagi acara berbasikal bukit.

Lebih membimbangkan atlet wanita berkenaan mendakwa jurulatihnya sendiri melakukan tindakan tidak senonoh tersebut sewaktu menjalani latihan persiapan ke Sukan SEA Kemboja.

Meskipun perkara tersebut masih dalam siasatan polis, namun isu gangguan seksual dalam industri sukan di negara ini bukan masalah remeh, malah jika ia tidak dilaporkan atau ditangani lebih awal mampu menjadi barah yang mampu merosakkan ekosistem sukan itu sendiri.

Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, isu gangguan seksual perlu dita­ngani awal dan tidak boleh ambil ringan perkara tersebut yang dilihat mampu membawa masalah lebih besar.

“Kita perlu jadikan insiden seperti ini sebagai amaran kepada semua persatuan sukan. Kita faham terdapat kesukaran atau kekangan untuk mencari tenaga pakar yang kebanyakan dikendalikan oleh jurulatih lelaki.

“Seperti sukan wanita keba­nyakan terdiri jurulatih lelaki kerana kekurangan kepakaran. Janganlah terjadi sehingga kes seperti Ratu Pecut Negara atau Ratu Trek Asia, Allahyarhamah Rabia Salam yang meninggal dunia selepas dikatakan tertekan isu gangguan seksual ini,” kata­nya.

Sebagai rekod, masalah gangguan seksual dalam sukan di negara ini bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini, bekas pere­nang negara, Cindy Ong pernah mendedahkan bahawa dia diganggu secara seksual oleh jurulatih sendiri.

Sementara itu, Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill menegaskan pihaknya tidak ber­kompromi dalam hal keselamatan dan kebajikan atlet-atlet berbasikal kebangsaan.

“Sekiranya tuduhan tersebut didapati berasas, tindakan yang boleh diambil termasuklah penggantungan lesen dan penamatan kontrak perkhidmatan atau pembatalan pelantikan ke pasukan berbasikal kebangsaan.

“Saya memuji keberaniannya membuat laporan polis dan ketika ini atlet berkenaan dalam keadaan stabil, malahan bersemangat untuk turun mewakili negara ke Kemboja nanti,” katanya.

Dalam satu laporan pasukan penyelidik Institut Sukan Negara pada 2017 telah mengenal pasti kewujudan gangguan seksual dalam sukan dalam kalangan atlet.

Berdasarkan kajian tersebut, kadar peratusan gangguan seksual di kalangan atlet Malaysia adalah 16 peratus daripada 422 atlet.

Berikutan insiden gangguan seksual, Kementerian Belia dan Sukan telah mengaktifkan kod sukan selamat serta-merta bagi melindungi atlet berkenaan.

Kod itu memberi panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat serta peranan dan tanggungjawab semua pihak da­lam menangani gangguan dan penderaan dalam sukan.

Tujuan pembentukan kod tersebut adalah untuk memberi panduan dan rujukan kepada semua komuniti sukan mengenai skop sukan selamat dan tanggungjawab komuniti sukan secara jelas dan menyeluruh.

Objektif kedua ialah, melin­dungi komuniti sukan daripada sebarang bentuk penderaan, gangguan dan keganasan dalam sukan yang menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.

Selain itu, ia untuk mengukuhkan aspek integriti dalam tadbir urus badan sukan dan ekosistem sukan Malaysia secara keseluruhan.

Kod sukan selamat juga memastikan nilai positif dalam sukan selamat diamalkan dan dilaksanakan dalam setiap aktiviti sukan di semua peringkat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI