fbpx

Rakyat Melaka mahu Ketua Menteri tunjuk kebijaksanaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ashwad ketika ditemui pemberita di Batu Berendam di sini, malam tadi.

MELAKA – Rakyat di negeri ini menuntut agar Ketua Menteri Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menjalankan tanggungjawab dengan penuh kebijaksanaan khususnya dalam bidang keusahawanan yang berada di bawah portfolionya sebelum ini.

Seorang pengusaha kedai cuci kereta, Mohd. Sheiful Allif Mahmud, 37, berkata, dia berharap Ab. Rauf dapat memperkasakan kemudahan berbentuk kelulusan permohonan dan fasiliti kepada golongan peniaga kecil.

“Saya harap Ketua Menteri pandang isu-isu dihadapi peniaga kecil termasuk sistem birokrasi yang melambatkan urusan perniagaan kami dan melihat bantuan-bantuan yang layak diberikan selepas para peniaga terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Kami yakin pentadbiran di bawah Ab. Rauf akan lebih produktif dari aspek perniagaan kerana beliau sendiri merupakan seorang usahawan dan Exco Pelaburan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Sementara itu, seorang peniaga asam pedas di Pasar Borong Batu Berendam, Amizan Abu Kasim, 41, memberitahu, kerajaan negeri perlu menyelia lokasi-lokasi yang menempatkan para peniaga untuk memastikan perniagaan dapat dijalankan secara produktif serta kondusif.

“Bagi peniaga di pasar borong ini antara isu dihadapi kami adalah pelanggan tidak tahu pun ada kedai makan di dalam meskipun telah ada beberapa papan tanda diletakkan di luar jalan.

“Jadi saya cadangkan kepada kerajaan negeri untuk tambahkan lagi papan tanda yang lebih interaktif di kawasan-kawasan sepatutnya agar kami tidak terus tenggelam,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Sukarelawan Melaka, Ashwad Abd. Rahim turut meminta agar kebajikan masyarakat diangkat menjadi agenda seiring dengan usaha memperkasakan semula ekonomi negeri ini.

“Kami berharap Ketua Menteri yang mempunyai latar belakang dalam perniagaan ini dapat meningkat kebajikan rakyat termasuklah menaik taraf fasiliti kesihatan dengan pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di negeri ini.

“Beliau ada beritahu akan lantik barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam tempoh 48 jam, ini memperlihatkan beliau tidak mahu menunggu lama bagi memastikan pertumbuhan ekonomi, sekali gus menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ab. Rauf, 61, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, kelmarin.

Beliau menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang melepaskan jawatannya menerusi surat peletakan jawatan yang diserahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI