fbpx

Florida akan benarkan penduduk bawa senjata api di tempat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail 5 Januari 2016 menunjukkan seorang penjual senjata api di Florida. -- AFP

MIAMI, Florida – Penduduk negeri Florida akan dibenar membawa senjata api secara tersembunyi tanpa perlukan lesen, demikian menurut rang undang-undang (RUU) yang diluluskan Dewan Senat negeri yang dikuasai Parti Republikan dan disokong oleh Gabenornya, Ron DeSantis.

RUU yang mendapat kelulusan Dewan Perwakilan Florida pada minggu lalu itu diluluskan Senat menerusi undi 27-13.

Apabila RUU itu menjadi undang-undang, mereka yang mahu membawa senjata tersembunyi di khalayak ramai hanya perlukan dokumen pengenalan diri seperti lesen memandu.

Sebelum ini, orang awam yang mahu berbuat demikian memerlukan permit dan perlu menjalani latihan selain pemeriksaan latar belakang.

Langkah tersebut tidak lagi akan diwajibkan. Namun, peraturan lain seperti pembeli senjata api perlu berusia sekurang-kurangnya 21 tahun, menjalani pemeriksaan awal latar belakang dan tidak melakukan kesalahan jenayah, masih dikekalkan.

DeSantis berkata kelmarin bahawa beliau akan menandatangani RUU tersebut, demikian menurut media Amerika Syarikat.

“Setakat ini, terdapat 25 negeri membenarkan orang awam membawa senjata api secara tersembunyi tanpa permit.

“Kita akan menjadikan bilangan itu 26 di Florida minggu depan,” kata DeSantis semasa melawat sebuah kedai menjual senjata api di Georgia sebagai sebahagian siri jelajah bagi mempromosikan buku baharu beliau.

Kelulusan itu diberikan Senat tiga hari selepas insiden amukan senjata api di sebuah sekolah di Nashville, Tennessee yang mengakibatkan enam orang terbunuh termasuk tiga kanak-kanak berumur sembilan tahun. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI