fbpx

Andre Anura fokus pada final Terbuka Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANDRE enggan mengulangi nasib malang yang sama seperti aksi kelayakan kelmarin apabila menyaksikan dua lompatan awalnya dibatalkan.

JAGUH lompat kijang Asia Tenggara, Andre Anura Anuar bertekad memberikan prestasi terbaik untuk mencapai sasarannya pada final Terbuka Australia di Queensland Sport & Athletics Centre (QSAC), Brisbane hari ini.

Andre, 24, yang menyasarkan jarak lompatan sejauh 16.40 meter (m), enggan mengulangi nasib malang sama seperti aksi kelayakan kelmarin menyaksikan dua lompatan awalnya dibatalkan.

Situasi itu membuatkan Andre sedikit panik dan mengambil langkah selamat pada lompatan ketiga yang juga terakhir untuk mencapai jarak minimum 15.50m bagi melayakkannya ke final.

“Dua kali saya batal, mungkin perasaan saya terlalu teruja kerana ini adalah kejohanan antarabangsa yang pertama saya tahun ini. Saya perlu kawal dan kekalkan rentak lompatan.

“Saya cuba penuhi syarat dan dapatkan keputusan minimum untuk layak ke final. Kalau ikutkan ada satu lompatan saya yang batal sudah melebihi jarak 16m.

“Saya akan betulkan larian saya terutama lima langkah pertama. Final nanti saya nak ‘bantai’ balik. Kalau boleh dapat jarak lebih 16.40m nanti sudah bonus buat saya,” katanya.

Biarpun dua kali lompatannya batal tetapi Andre masih mampu mencatat 15.63m yang merupakan catatan ketiga terbaik daripada 15 peserta pada pusingan kelayakan kelmarin.

Dua atlet tuan rumah dari Victoria, Aiden Hinson dan Connor Murphy (New South Wales) dilihat sebagai pencabar utama Andre untuk merebut pingat emas Terbuka Australia hari ini.

Sebagai rekod, kejohanan itu merupakan medan persiapan terbaik buat Andre sebelum ke Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh pada Mei ini dengan misi mempertahankan pingat emas dimenanginya di Hanoi tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI