fbpx

Peniaga guna ‘stapler’ bungkus makanan, tak takut didenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Contoh penggunaan dawai kokot dalam pembungkusan makanan.

KUANTAN – Walaupun penggunaan dawai kokot dalam pembungkusan makanan sudah dilarang kerana boleh memudaratkan kesihatan, namun ia tetap digunakan secara meluas di bazar Ramadan di negeri ini.

Berdasarkan tinjauan Kosmo! di beberapa bazar Ramadan di daerah ini mendapati, hampir kesemua peniaga menggunakan dawai kokot untuk membungkus makanan kerana ia dikatakan lebih mudah dan cepat.

Namun penggunaan kaedah berkenaan dilihat membimbangkan pengguna yang risau risiko tertelan dawai berkenaan khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Seorang pengguna, Azrul Riduan, 37, berkata, penggunaan dawai kokot yang berleluasa menyebabkan dia bimbang risiko tertelan dawai berkenaan terutama kanak-kanak.

“Saya memang risau tetapi saya tiada pilihan kerana hampir semua peniaga menggunakan kaedah itu. Jadi setiap kali membeli saya akan membuang dahulu semua dawai kokot pada bungkusan sebelum ia dibuka, risaukan anak-anak tertelan.

“Saya pelik kerana setahu sahaja ia dilarang digunakan, tetapi macam tiada penguatkuasaan yang melarangnya, mungkin apabila ada mangsa, barulah ia akan dikuatkuasakan,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Hafizal Mohamad, 45, berkata, dia mengakui pernah termakan kuih bersama dawai kokok, tetapi bernasib baik kerana tidak tertelan dawai berkenaan.

Justeru katanya, dia berharap pihak berkuasa dapat bertindak proaktif dengan melakukan pemeriksaan bagi melarang penggunaan kaedah berkenaan bagi mengelakkan sebarang tragedi.

“Janganlah apabila ada kejadian tertelan dawai kokot barulah hendak dilakukan penguatkuasaan dan pemantauan, jadi saya harap pihak berkuasa buatlah kerja dan kuat kuasa peraturan ditetapkan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, penggunaan dawai kokot pada pembungkus makanan boleh dikategorikan sebagai salah satu pencemaran makanan.

Katanya, peniaga makanan yang menggunakan stapler atau dawai kokot untuk membungkus makanan boleh dikenakan tindakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM).

“Kalau kita lihat ‘stapler’ itu sendiri agak bahaya dan jika termasuk dalam makanan boleh membahayakan kepada individu terutama anak-anak kecil.

“Ini merupakan satu inovasi baharu yang tidak sepatutnya berlaku,” tegasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI