fbpx

Op Pantau: Jumlah kompaun meningkat kepada RM17,000-KPDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fuziah ketika Majlis Pelancaran Jualan Rahmah dan Majlis Iftar bersempena Hari Pengguna Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di PPR Batu Muda, disini, petang tadi. FOTO: SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan pemantauan terhadap 19,985 premis menerusi Op Pantau di beberapa bazar Ramadan di seluruh negara setakat hari ini.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, KPDN menerima 316 aduan awam berhubung pelbagai kesalahan melibatkan pengusaha premis bazar Ramadan di seluruh negara.

Katanya, seramai 1,434 peniaga didapati melakukan kesalahan berkaitan harga mahal, alat timbang (214), dan bekalan (155).

“Semalam, saya laporkan 283 aduan, dalam masa 24 jam ia bertambah. Jumlah kompaun semalam dari RM9,400 dan jadi hari ini jumlah kompaun adalah RM17,000.

“Sebanyak 113 kes sudah dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM17,000 dengan negeri dengan kes tertinggi adalah Negeri Sembilan sebanyak 37, Johor (21), dan Pulau Pinang (17).

“Kita mahu memastikan rakyat mendapat hak mereka melalui kawalan harga dan pemantau premis yang dipantau setiap hari,”katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jualan Rahmah dan Majlis Iftar bersempena Hari Pengguna Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di PPR Batu Muda, disini, petang tadi.

Turut hadir melancarkan majlis, Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin dan Ahli Parlimen Batu, P.Prabakaran.

Mengulas lanjut berkenaan majlis petang tadi, Fuziah berkata, sebanyak 15 pasar raya di 11 Parlimen sekitar ibu negara mengambil bahagian dalam program Jualan Rahmah yang akan diadakan setiap dua minggu bermula 25 Mac lalu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad, sehingga hari Raya Aidilfitri yang ketujuh.

Tambahnya, Jualan Rahmah berkenaan menawarkan diskaun dari 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa untuk barang keperluan asas seperti ayam, telur, bawang, sayur-sayuran dan sebagainya.

“Kita juga memberi lima keping kupon bernilai RM5 setiap satu untuk lebih 2,000 isi rumah di PPR Batu Muda di mana mereka boleh menebus kupon berkenaan di 18 gerai yang menawarkan Menu Rahmah sempena majlis iftar di sini.

“Selain itu, sebanyak 1150 Bakul Rahmah turut disumbangkan oleh IGB Reit (Midvalley & Gardens) sebanyak 1000 unit, 99 Speedmart (70), KK Mart (50) dan Aeon Big (30) kepada penduduk PPR Batu Muda hari ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, KPDN juga yakin bahawa lebih banyak syarikat pengeluar akan menyertai inisiatif Payung Rahmah.

“Sebab kenapa mengambil masa sedikit kerana pengeluar ini mereka ada struktur harga yang perlu diikuti. Sebab bila pengeluar nak hantar (produk) kepada peruncit mereka perlu ikut struktur harga itu.

“Jika pihak pengeluar membuat Jualan Rahmah, ia akan memberi kesan kepada peruncit dari segi keadaan stok, harga jualan dan margin keuntungan. Jadi, mereka (pengeluar) perlu lebih masa untuk proses libat urus,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI