fbpx

Ikut prosedur dan berhemah kalau mahu masuk – NC UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roziah (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM),Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi menunjukkan MoU yang ditandatangani mereka

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pemimpin untuk ‘masuk’ ke institusi tersebut selagi memberikan manfaat untuk para mahasiswa.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts.Dr.Roziah Mohd.Janor bagaimanapun menegaskan pihak berkenaan sewajarnya melalui proses secara berhemah dan mengikut prosedur yang telah digariskan.

“UiTM secara peribadi tidak mempunyai masalah dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.Sebenarnya isu semalam berlaku kerana penganjur tidak melalui proses yang berhemah, permohonan tidak dibuat melalui pejabat Naib Canselor.

“Kita tidak menerima surat (permohonan) daripada penganjur. Saya difahamkan semasa Syed Saddiq hadir di pintu utama UiTM, dia berkata hadir atas jemputan penganjur,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan Institut Integriti Malaysia di Bangunan Canseleri, hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan dialog antara Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq bersama pelajar UiTM yang dijadualkan berlangsung malam tadi gagal selepas dihalang memasuki UiTM.

Ia berikutan pihak pengurusan memberikan alasan bagi menjaga keharmonian universiti. Selain itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM akan memberikan tarikh baharu bagi mengadakan dialog di universiti
berkenaan.

Justeru, Roziah menjelaskan UiTM bukan menghalang secara semberono dan kegagalan Syed Saddiq itu adalah tanggungjawab pihak yang menjemputnya.

Beliau menambah, sekiranya Syed Saddiq masih berminat, pihaknya terbuka untuk meneliti semula permohonan rasmi daripada pihak penganjur termasuk menyertakan sekali tajuk yang relevan dalam perbincangan program itu nanti.

“Sekiranya perbincangan berkaitan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), ia tidak mempunyai kaitan dengan pelajar UiTM.

“Ini disebabkan pelajar UiTM tertakluk di bawah Akta 173 dan 174,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI