fbpx

‘Empat anak aku ada dalam rumah terbakar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nabila menangis mengenangkan empat anaknya yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabar Awor, Jalan Ismail, Muar kelmarin.

MUAR – Luluh hati seorang ibu apabila mendapati empat anaknya berusia antara tiga hingga lapan tahun ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di dalam bilik air selepas rumah sewa yang mereka diami terbakar di Kampung Sabar Awor, Jalan Ismail di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 7.49 malam itu berlaku ketika Nabila Sedu, 31, keluar untuk membeli juadah berbuka seorang diri, manakala suaminya, Thein Ko Htut, 30, yang merupakan warga Myanmar sedang bekerja di sebuah restoran.

Suasana pilu menyelubungi kawasan kejadian apabila Nabila menjerit ‘anak aku dalam rumah, anak aku dalam rumah’ berkali-kali dalam keadaan air mata berjujuran kerana mengenangkan penderitaan empat anaknya yang mati terbakar.

Kanak-kanak yang meninggal dunia itu ialah Fatihah Aisyah, 3, Mustakim, 4, Mohd. Hakim, 6, dan Puteri Aisyah, 8.

Sehingga berita ini ditulis, Nabila masih tidak dapat menahan sedih dan sentiasa memegang sehelai pakaian milik anaknya untuk dicium dan berada dalam keadaan sugul.

Nabila memeluk pakaian tadika salah seorang anaknya.

Nabila memberitahu dia terkilan kerana tak dapat menunaikan hasrat anak-anaknya yang mahu memakai baju warna hitam sedondon untuk Aidilfitri ini.

“Anak-anak berhasrat untuk memakai baju sedondon berwarna hitam pada 1 Syawal nanti. Saya terkilan kerana tak dapat memenuhi hasrat itu,” katanya sebelum tergesa-gesa meninggalkan bilik forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah bersama suaminya.

Difahamkan, keluarga ber­kenaan tinggal dan menyewa di rumah papan itu sejak empat tahun lalu.

Berita berkaitan: 4 beradik maut selepas berbuka puasa, rumah didiami terbakar

Berita berkaitan: 4 beradik maut, segala aspek kejadian kebakaran disiasat

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, sebelum kejadian, Nabila baru keluar 10 minit untuk mencari kelengkapan berbuka.

Katanya, si ibu mengatakan pintu dapur tidak berkunci ketika dia keluar.

“Kita percaya, kanak-kanak itu tidak dapat menyelamatkan diri kerana api marak dengan cepat menyebabkan mereka gagal mencari jalan keluar. Mayat ke­semua mangsa ditemui di dalam tandas dipercayai untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Anggota bomba mencari empat beradik di Kampung Sabar Awor, Jalan Ismail, Muar kelmarin.

Menurut Raiz Mukhliz, wanita itu bergegas pulang selepas dihubungi jiran.

“Kebakaran bermula di bahagian dapur dipercayai akibat litar pintas tetapi kita masih menjalankan siasatan,” katanya.

Ujar Raiz Mukhliz, siasatan penuh akan dilakukan termasuk meneliti sekiranya terdapat elemen kecuaian.

“Kita menunggu laporan penuh forensik bomba berhubung punca kebakaran. Kertas siasatan akan dibawa ke pihak pendakwa raya untuk diteliti sama ada wujud elemen kecuaian atau unsur jenayah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, seramai 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Api berjaya dikawal dalam tempoh lima minit. Selepas api padam, kita membuat pencarian sebelum menemui empat kanak-kanak di bahagian tandas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI