fbpx
ADAM LEE

Anak bukan trend – Adam Lee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMILIKI cahaya mata sendiri pastinya menjadi impian setiap pasangan yang sudah berumah tangga. Hal sama juga menjadi hasrat Adam Lee.

Biar menggunung harapannya, Adam bagaimanapun enggan meletakkan soal anak sebagai pengukur kebahagiaan rumah tangga yang dibina sejak enam bulan lalu bersama Sweet Qismina.

Menurut pelakon berusia 28 tahun itu, dikurniakan zuriat atau tidak, semuanya diserahkan sepenuh hati atas izin Tuhan.

Bukan tidak mahu mengakui hakikat, namun dia enggan memberi tekanan kepada diri dan isteri hanya kerana mahu memuaskan hati dan memenuhi kehendak umum.

Adam bertegas tidak mahu termasuk dalam golongan yang kelihatan terdesak dan terburu-buru bercakap soal zuriat sejurus selepas berkahwin. – FIRDAUS JOHARI/FARIZ RUSADIO

Anak

“Soal anak, sejujurnya saya tidak perlu terasa pun sekiranya orang kerap bertanya atau membanding-bandingkan kami dengan pasangan lain.

“Itu yang saya selalu pesan dan tekankan kepada Sweet juga sebab semuanya bergantung kepada rezeki. Soal anak tidak boleh dipaksa atau disegerakan ikut kehendak kita,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Pelakon yang popular menerusi drama Budak Tebing itu juga menegaskan memiliki anak tidak seharusnya dijadikan trend atau perlumbaan dalam kalangan pasangan yang sudah berkahwin.

Tegasnya, usah memberi tekanan kepada pasangan suami isteri dengan soalan sensitif seperti mengenai anak.

“Kami baru enam bulan kahwin dan sudah terima soalan begini, belum lagi pasangan yang sudah berkahwin lama tetapi belum ada anak.

BARU enam bulan kahwin, Adam dan isterinya, Sweet masih dalam emosi bulan madu.

“Siapa kita nak menilai atau meletakkan syarat bahawa kahwin perlu wajib ada anak? Ini bukan trend, sebaliknya kerja Tuhan.

“Kita jangan buat kerja Tuhan dan lebih baik ikut sahaja suruhannya,” jelas pemilik nama penuh Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee itu.

Dia bagaimanapun tidak menolak sekiranya diberikan rezeki untuk memiliki zuriat dalam tempoh terdekat.

“Kami tak pernah letak tempoh untuk mempunyai anak. Jika Tuhan beri awal atau lambat, kami terima,” ujarnya.

Seronok berkongsi dunia baharunya selepas bergelar suami, lelaki tinggi lampai itu menekankan sikap tolak ansur sebagai aspek penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga.

Beradaptasi dengan kelemahan pasangan dan menurunkan ego antara usaha yang banyak diamalkan sejak enam bulan lalu.

TURUNKAN ego, jangan ikut kepala sendiri itu prinsip yang dipegang Adam bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga bersama Sweet.

Baju raya merah jambu!

“Pergaduhan antara suami isteri itu memang akan berlaku cuma apabila rasa sakit hati memang perlu diketepikan.

“Apabila sudah bergelar suami, status ini bantu saya turunkan, kawal ego dan belajar hormati pasangan seadanya.

“Jika bergaduh, kalau saya api, di sana perlu jadi air dan sebaliknya. Jangan simbah minyak pada api pula,” katanya dalam nada berseloroh.

Mengenai Ramadan pertama sebagai suami, semuanya baik-baik, sementara isterinya sudah teruja dengan persiapan Aidilfitri.

“Sweet pun sekarang teruja dengan baju raya.Dia ada juga cuba tanya sama ada saya okey untuk pakai baju berwarna merah jambu untuk raya nanti.

“Bila sudah jadi suami, pakai sahajalah tetapi kalau zaman bujang mungkin tidak!” ujarnya mengakhiri perbualan.

ADAM bakal muncul dalam satu skrin bersama Sweet Qismina menerusi drama Anak Ustaz arahan Shuhaimi Lua tidak lama lagi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN