fbpx

AFES menjuarai kemampanan dan pengurusan sisa berimpak tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nazar bersama wakil dari Universiti Utara Malaysia ketika lawatan di FIKS, Putrajaya baru-baru ini.

SHAH ALAM – Laporan terbaharu Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan, populasi global boleh meningkat kepada 8.5 bilion pada 2030 dan sekitar 9.7 bilion pada 2050.

Dengan peningkatan populasi dunia, penggunaan sumber asli secara tidak bertanggungjawab berisiko menyumbang kepada kerosakan planet dan penduduk dunia perlu memainkan peranan dalam memastikan penggunaan secara lebih bertanggungjawab, khususnya melibatkan syarikat-syarikat termasuk di Malaysia.

Menyedari senario itu, Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd. (AFES), iaitu anak syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. (AFSB) fokus meneruskan agenda kelestarian di samping menyebar luas aplikasi serta sistem pengurusan sisa berpusat untuk manfaat rakyat dan negara secara keseluruhan.

AFES, ditubuhkan pada tahun 2013 dan kini sudah beroperasi selama 10 tahun dan menawarkan perkhidmatan utama iaitu penyelesaian alam sekitar melalui aktiviti perniagaan teras Pengurusan Aset dan Fasiliti, Pembersihan Infrastruktur & Penyelesaian Sisa dan Kemudahan Pengurusan Sisa.

Ketua Pegawai Operasinya, Nazar Abdul Raof menegaskan, pihaknya berazam menyediakan penyelesaian lebih baik bukan sahaja kepada entiti korporat, perniagaan dan komuniti, malah untuk majlis perbandaran, kerajaan tempatan serta pemaju hartanah dan perumahan.

Menurutnya, berdasarkan Laporan Jurang 2021 oleh Circle Economy, daripada 100 bilion tan bahan yang memasuki ekonomi global, hanya 8.6 peratus dikitar semula ke dalam ekonomi dan paras berkenaan perlu digandakan kepada 17 peratus.

Malakoff Corporation Berhad, iaitu syarikat induk AFES telah menetapkan prestasi petunjuk utama yang tinggi yang mana organisasi terbabit perlu menguruskan sisa pepejal berjumlah 10,000 tan sehari menjelang 2031, de­ngan kadar kitar semula 15 peratus hingga 20 peratus.

“Bagi mencapai matlamat berkenaan, pertama sekali kami perlu mewujudkan kesedaran mengenai siapa AFES serta perkhidmatan yang ditawarkannya dan kami berhasrat untuk melaksanakannya melalui pendidikan. Kami akan melakukannya menerusi fasiliti kami, iaitu Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) dan Fasiliti Kitar Semula Bersepadu (IRF) di Presint 5, Putrajaya.

“Kemudahan yang menelan belanja lebih RM12 juta ini menggabungkan teknologi terkini untuk pengendalian dan pengurusan sisa, selaras dengan sasaran kami dalam menyediakan perkhidmatan nilai tambah. Ia juga boleh digunakan untuk mendidik orang ramai khususnya kanak-kanak dan belia,” katanya.

Nazar memberi ucapan di Majlis ‘Partners Recognition Award’ di RISE, Kuala Lumpur.

Jelasnya, sejak FIKS dilancarkan pada Julai 2020, ia telah menerima lebih 10,000 pelawat yang terdiri daripada orang awam, wakil syarikat korporat, kementerian, agensi kerajaan, pelajar sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan bagi mendapat maklumat lebih lanjut mengenai pemulihan dan guna semula sisa.

Katanya, kemudahan IRF berjaya mengumpul lebih 100 tan sampah di sekitar Kawasan di Putrajaya setiap hari, sebelum mengasingkan sisa kering seperti kertas, kadbod, plastik dan kaca yang kemudiannya diproses untuk kitar semula serta guna semula. IRF merupakan sebuah fasiliti yang mengumpulkan dan mengasingkan semua barangan kitar semula mengikut jenis bahan, dan diprosesnya sebelum dibawa ke pengilang untuk proses pemulihan.

Fasiliti terbaharu yang sedang dibangunkan oleh AFES adalah Recovery Initiative Sustainable Eco-Facility (RISE Kuala Lumpur) di Gombak, Selangor. RISE Kuala Lumpur dijangka boleh menerima sisa kitar semula dari kawasan Kuala Lumpur, Lembah Kelang dan yang berdekatan Gombak. Fasiliti ini dijangkakan boleh menerima sisa kitar semula sebanyak lebih daripada 50 tan sehari, dan akan menjadi antara fasiliti yang terbesar di Malaysia.

“Amalan pengurusan sisa semasa ialah dengan memindahkan semua sisa dan sampah ke tapak pelupusan, namun perlu diingat kita tidak boleh bergantung kepada tapak pelupusan kerana ketersediaan tanah semakin berkurangan, malah tapak pelupusan sampah boleh mengundang kesan buruk jangka panjang kepada alam sekitar,” tegas beliau.

Nazar berkata, bagi menangani isu berkenaan, pihaknya adalah operator yang menguruskan dua insinerator yang sedang beroperasi di negara ini, sekali gus menyediakan alternatif kepada pengurusan tapak pelupusan.

 “Malah, AFES turut diiktiraf atas inisiatif dan usahanya dengan memenangi beberapa anugerah sepanjang tahun 2019 hingga 2022 seperti  Best Environmental Impact Award 2019 bagi projek insinerator di Pulau Pangkor dan Cameron Highlands pada Europa Awards for Sustainability anjuran EUMCCI, Excellence in Facilities Management Award 2020, The Asean Renewable Energy Project Award 2021, Green Initiative Award dan anugerah Frost and Sulivan untuk kategori Malaysia Integrated Environmental Solution Company Of The Year Award pada tahun 2022.”

Khidmat Fasilita

Dalam usaha mengembangkan kehadiran jenamanya dalam kalangan orang awam, AFES melancarkan Fasilita pada 1 Februari lalu, iaitu khidmat pembersihan kediaman komprehensif, termasuk penghapusan perosak sebagai lanjutan daripada perkhidmatan Pengurusan Aset dan Fasiliti.

Perkhidmatan dengan sesi yang fleksibel, iaitu pada sebelah pagi atau petang itu dilancarkan oleh Pengarah AFES, Ybhg. Datuk Mohd. Zain Hassan di Ibu Pejabat AFES di Glenmarie, Shah Alam.

Mohd. Zain menekankan bahawa AFES kini turut memberi tumpuan kepada menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat awam sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar yang bersih.

“Kami sering bekerjasama dengan badan berkanun dan agensi kerajaan yang cenderung menjadi klien. Pada masa sama, kami juga mahu menegaskan matlamat dan objektif kelestarian AFES kepada orang awam.

“Menerusi inisiatif Fasilita yang memberikan akses terus kepada masyarakat untuk merasai sendiri pengalaman perkhidmatan profesional oleh AFES, kami berharap perkhidmatan ini akan terus mewujudkan kesedaran terhadap persekitaran hidup lebih bersih dan memupuk budaya menjaga persekitaran.

“Buat masa ini, kami bermula di Kuala Lumpur dan Shah Alam,” ujar beliau.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI