fbpx

Erti persahabatan Siti Nordiana, Saujana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MERAIKAN Ramadan 2023, Saujana dan Siti Nordiana memberi sentuhan baharu terhadap lagu malar segar, Keluarga Bahagia yang sudah berusia 26 tahun.

TAHUN ini, genap 26 tahun lagu nasyid popular Keluarga Bahagia nyanyian kumpulan Saujana sejak dikeluarkan pada 1997 menerusi album sulung mereka, Saujana.

Biarpun tahun silih berganti dan zaman berubah dengan pasang surut populariti muzik nasyid, lagu Keluarga Bahagia tetap meniti di bibir peminat dan pencinta muzik tanah air.

Menariknya, daripada puluhan deretan lagu kumpulan Saujana, lagu Keluarga Bahagia menjadi antara karya nasyid malar segar yang sinonim dengan Saujana sehingga kini.

Bersempena sambutan Ramadan tahun ini, lagu Keluarga Bahagia dilancarkan semula dengan sentuhan segar menampilkan kolaboratif hebat Saujana dan penyanyi ternama, Siti Nordiana.

Lagu Keluarga Bahagia versi 2023 turut membabitkan empat anggota Saujana iaitu Dr. Khairul Idzwan Baharin, 42; Suffian Amrin, 42; Azalinor Abd. Rahman, 42, dan Ahmad Zuhaidi Abd, Aziz, 44.

Mewakili Saujana, Suffian berkata, pihaknya berbesar hati apabila pasukan Siti Nordiana atau mencadangkan kepada kami untuk kerjasama menerusi lagu Keluarga Bahagia.

“Sebelum ini, Nana (Siti Nordiana) pernah berduet dengan Ustaz Shahrizan menerusi lagu zikir Hasbi Rabbi, jadi tahun ini perancangan Nana dan pasukannya ialah untuk berduet lagu Keluarga Bahagia pula.

“Bila dipelawa, kami berasa sangat berbesar hati dan terus bersetuju. Cuma cabarannya adalah dari segi rakaman gandingan penyanyi-penyanyi dari dua jantina dan susunan lagu ini juga sangat berbeza berbanding versi asal.

PENyatuan vokal antara kumpulan Saujana dan Siti Nordiana menerusi Keluarga Bahagia adalah kesinambungan momentun Konsert Saujana 25 Tahun baru-baru ini.

“Ini kerana, ia membabitkan dua ‘tone’ suara yang berbeza. Bila kami sudah bersetuju untuk berduet, kami teruskan rakaman walaupun terpaksa menjalani sesi rakaman di tiga studio yang berbeza disebabkan perbezaan jadual antara kami semua. Alhamdulillah, lagu dan muzik video akhirnya selesai dirakamkan dan bakal dilancarkan bulan Ramadan ini.

“Susunan lagu ini dibuat oleh Zimi yang juga bertindak sebagai penerbit. Susunan lagu dibuat secara moden dengan genre muzik balada. Mesej lagu akan kepentingan hidup kekeluargaan dikekalkan dan susunan lagu yang dibuat menepati cita rasa pendengar kini,” katanya.

Berkongsi lanjut, Sufian berkata, lagu Keluarga Bahagia versi baharu ini cukup istimewa kerana membawa kesinambungan daripada kejayaan penganjuran Konsert Saujana 25 Tahun baru-baru ini.

“Boleh dikatakan ini susulan daripada kejayaan konsert untuk dibawa ke bulan Ramadan pula. Penyanyi utama asal untuk lagu ini iaitu Dr. Idzu Baharin juga sangat teruja untuk berduet dengan Nana,” katanya.

Dalam masa sama, lagu berkenaan turut meraikan persahabatan lama antara Saujana dan Nana.

“Tahun kemunculan kami dalam industri lebih kurang sama saja. Kalau dahulu sewaktu sesi fotografi untuk majalah dan sebagainya, kadang-kadang terjumpa juga dengan Nana. Jadi, bila dapat jumpa kembali selepas 25 tahun apalagi merakam sebuah lagu bersama, semua itu wajar diraikan.

“Lagi pula, 10 tahun lalu saya pernah pergi ke Gaza, Palestin bersama sahabat selebriti lain dan dari situ kami mula mengenali Nana dengan lebih rapat.

“Nana sangat meraikan persahabatan. Lagu ini bukan untuk bulan Ramadan saja, tapi tetap relevan untuk bila-bila masa.

“Mesej lagu ini sangat sesuai dengan isu rumah tangga yang sedang hangat diperkatakan kini. Ada mesej tersirat dalam lagu ini. Inilah apa yang nak disampaikan menerusi lagu ini iaitu untuk mengajak masyarakat menyayangi keluarga,” katanya.

SITI NORDIANA mengakui lagu Keluarga Bahagia sering menjadi pilihan setiap kali masuk pertandingan pada zaman persekolahan.

Sementara itu, Nana, 39, mengakui berasa bertuah apabila dapat kembali menyatu dengan Saujana yang juga antara kumpulan nasyid legenda tanah air.

“Sejujurnya, saya berasa bertuah sangat. Sebab saya membesar dengan lagu Keluarga Bahagia ini. Di sekolah dahulu, kalau masuk pertandingan memang lagu inilah yang dinyanyikan. Tidak menjangka sekarang saya dapat rakam semula lagu ni.

“Secara peribadi, lagu Keluarga Bahagia merupakan kegemaran saya begitu juga dengan Saujana. Mereka kumpulan nasyid legenda,” katanya.

Dalam masa sama, Nana turut gementar menantikan respons daripada peminat.

“Umum mengetahui lagu Keluarga Bahagia ini mempunyai penggemar tersendiri sejak dahulu lagi. Jadi, apabila diberikan nafas baharu tentu saja saya gementar nak menunggu maklum balas peminat.

“Apa pun, saya sudah cuba yang terbaik dan menyanyikan lagu ini mengikut cara dan gaya saya sendiri tapi masih kekalkan keaslian, kemerduan lagu ini,” katanya.

Lagu Keluarga Bahagia (2023) terbitan Seventeen Eleven Music akan dilancarkan Jumaat lalu dan boleh mula distrim di semua perkhidmatan platform muzik digital muzik, termasuk saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI