fbpx

Pakej Haji Rahmah ditawarkan bawah RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Na'im (tengah) menyampaikan plak penghargaan kepada wakil syarikat haji dan umrah pada Majlis Pelancaran Karnival Pengelola Jemaah Haji di Pusat Konvensyen Hotel Movenpick di Sepang hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

SEPANG- Kerajaan memberi saranan kepada Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang akan mengendalikan jemaah haji musim ini untuk menawarkan Pakej Haji Rahmah dibawah harga RM50,000 seorang seterusnya membolehkan rakyat menikmati harga berpatutan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Naim Mokhtar berkata, saranan itu dilontarkan kepada 23 pengendali haji yang menyertai Karnival PJH di mana rata-rata antara mereka menawarkan pakej ke Tanah Suci bawah RM50,000 seorang.

“Kita lancarkan juga Pakej Haji Rahmah dimana saya sebut kepada 23 pengelola haji terlibat untuk dapatkan satu pakej bawah RM50,000.

“Saya juga melawat 23 gerai pameran terlibat dan kesemua wakil PJH menyambut baik saranan itu dengan menawarkan pakej haji seperti RM43,000 serta RM45,000,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pengelola Jemaah Haji di Hotel Movenpick di sini tadi.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga memberi komitmen untuk memastikan urusan dan perkhidmatan haji diberikan kepada bakal jemaah yang pergi secara Muassasah dan pakej berada pada tahap terbaik.

“Kerajaan memandang serius kes penipuan membabitkan rakyat Malaysia yang ingin menunaikan ibadat haji dan kami bekerjasama dengan Tabung Haji, polis serta syarikat berdaftar bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi menangani hal itu.

“Susulan, kami mengharapkan jemaah dapat mengenali lebih erat pengendali haji menerusi karnival berkenaan sekali gua berupaya mengurangkan penipuan yang sering berlaku sebelum ini,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai kuota haji tambahan sebanyak 350 orang untuk musim ini, Mohd. Naim berkata, kerajaan sedang menunggu keputusan daripada Arab Saudi.

Menurutnya, kerajaan sudah mengemukakan rayuan sebanyak dua kali iaitu termasuk Februari tahun ini sewaktu lawatan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al Rabiah.

“Kerajaan sudah buat rayuan, yang kita dapat ialah sebanyak 31,600 kuota haji. Jadi, kita ada asas untuk sebut kepada Arab Saudi kenapa perlu naik 350 dan jadikan ia 31,950.

“Kita akan tunggu daripada Arab Saudi kerana tidak tahu lagi bila keputusannya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI