fbpx

Kerja pembaikan paip pecah siap, 55 kawasan terjejas dijangka pulih hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja pembaikan paip pecah yang berlaku di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang semalam. Foto oleh Air Selangor

PETALING JAYA – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan gangguan bekalan air yang berlaku di 55 kawasan di Shah Alam dan Klang beransur pulih selepas kerja-kerja pembaikan paip pecah di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang siap sepenuhnya pagi tadi.

Menerusi satu kenyataan di laman Facebook, Air Selangor berkata, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.

Jelasnya, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya selewat-lewatnya pukul 6 pagi esok.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Air Selangor akan terus menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,”katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan sebanyak 55 kawasan di Shah Alam dan Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pelaksanaan kerja pembaikan paip pecah di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang.

Kawasan terjejas antaranya Taman Sentosa, Kota Pendamar, Taman Sri Andalas, Pelabuhan Utara, Pulau Ketam, Sementa dan Seksyen 32.

Selain itu, ia melibatkan Bandar Botanik, Bandar Bukit Tinggi 1, Bandar Parkland, Kampung Pulau Indah, Bandar Sultan Suleiman dan Kampung Teluk Gong. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI