PETALING JAYA – Keputusan menyewa kereta mewah semata-mata untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri adalah untuk memberi keselesaan kepada isteri serta empat anaknya dan bukan untuk menunjuk-nunjuk.
Seorang penyewa yang ingin dikenali Hadri Abdul, 47, berkata, dia memilih untuk menyewa kenderaan mewah terutamanya kenderaan pelbagai guna (MPV) seperti Toyota Alphard dan Vellfire disebabkan mahukan keselesaan dalam pemanduan
“Tiada niat mahu menunjuk ibarat duit banyak tetapi Aidilfitri ini tumpuan orang ramai untuk pulang ke kampung. Jika setiap hari kita guna kenderaan biasa dalam urusan seharian, apa salahnya raya ini beri kelainan.
“Lagi satu perjalanan ke kampung agak jauh dan semestinya sesak, jadi untuk keselesaan saya menyewa kereta mewah. Tiada masalah berhabis setahun sekali,” katanya.
Tambah Hadri, dia yang menggunakan MPV jenis Perodua Alza untuk pergerakan harian termasuk ke pejabat berkata, untuk membeli kereta mewah dan mahal adalah tidak berbaloi.
Jelasnya, dengan bayaran bulanan yang mencecah RM2,000 dan membuat pinjaman bank selama sembilan tahun semata-mata untuk pakai kereta mewah baginya ia bukan satu keperluan.
“Kemudahan sewa kereta mewah sudah ada, apa salahnya kita nak ‘reward’ keluarga untuk setahun sekali menggunakan kereta mewah, perjalanan pun selesa.
“Jika ada orang anggap kita nak menunjuk itu biarlah, cuma kita ni tiada niat lain dan semua yang saya lakukan adalah demi keluarga tercinta,” ujarnya.














