fbpx

Penduduk bandar seluruh dunia berdepan peningkatan krisis air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk menggunakan hos untuk menyalurkan air bersih dari sebuah lori tangki di New Delhi pada 23 Ogos 2022. - AFP

BANDAR RAYA NEW YORK – Jumlah penduduk bandar di seluruh dunia yang menghadapi krisis kekurangan air dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2050 ekoran cuaca kemarau dan ekosistem planet yang semakin tertekan, demikian menurut laporan baharu dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti dilaporkan agensi berita United Press International (UPI).

Laporan bertajuk Pembangunan Air Dunia yang dikeluarkan menjelang Persidangan Air 2023 itu mendapati penduduk bandar seluruh  dunia yang menghadapi krisis kekurangan air dijangka meningkat kepada 1.7 bilion hingga 2.4 bilion orang menjelang 2050 berbanding 930 juta orang pada 2016.

Ia selain itu turut menekankan bahawa ketersediaan air minuman selamat yang semakin berkurangan akan menjejaskan tumbuhan dan haiwan selain mengetengahkan kaedah kolaboratif di mana orang ramai boleh bekerjasama untuk mengatasi cabaran bagi mengelakkan krisis air.

“Terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan mekanisme antarabangsa yang kukuh bagi menghalang krisis air global daripada menjadi di luar kawalan.

“Air merupakan masa depan kita bersama justeru, adalah penting untuk kita semua berkongsi secara saksama serta menguruskannya secara mampan,” kata Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO), Audrey Azoulay. 

Sementara itu, ketua pengarang laporan tersebut, Richard Connor berkata, para pemimpin dunia tidak boleh mengabaikan risiko kekurangan air selamat kerana ia boleh membawa kepada pertelingkahan mengenai sumber dan peperangan pada masa depan.

“Jika kita tidak menanganinya, pasti akan wujudnya krisis global,” katanya. 

Menurut Connor, buat masa ini, sektor pertanian menggunakan 70 peratus daripada bekalan air dunia.

Selain itu, 153 buah negara turut berkongsi hampir 900 sungai, tasik dan sistem akuifer. 

Justeru, Connor berkata, adalah penting untuk negara-negara menjalinkan kerjasama seperti yang dilakukan oleh separuh daripada 153 negara yang telah memeterai beberapa perjanjian.

“Kawalan banjir dan pencemaran, perkongsian data serta pembiayaan sistem rawatan kumbahan adalah cara negara-negara termasuk pihak lain boleh bekerjasama untuk mengelakkan krisis air global.

“Ia boleh dilakukan dalam pelbagai cara termasuk melindungi tanah lembap serta mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” jelas Connor.

Pada Ogos tahun lalu, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) memberi amaran bahawa kanak-kanak di rantau Tanduk Afrika dan wilayah Sahel berisiko mati disebabkan krisis air.

Bilangan penduduk tanpa akses kepada air selamat di Ethiopia, Kenya dan Somalia pula telah meningkat secara mendadak kepada 16.2 juta orang pada Julai tahun lalu daripada 9.5 juta pada Februari. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI