fbpx

Isu rumah tangga bukan pesta buka aib – Syamsul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAMSUL menafikan dakwaan dia mengabaikan Puteri Sarah selama empat tahun konflik mereka berlaku kerana dia masih memberi nafkah, menyediakan tempat tinggal dan makan minum buat isterinya itu.

KUALA LUMPUR – “Ini bukan pesta saling membuka aib masing-masing.”

Demikian penegasan yang dizahirkan pengarah sensasi Syamsul Yusof berhubung kemelut rumah tangga dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana yang kini berlanjutan hampir lima tahun.

Enggan membiarkan isu ‘dalam kain’ terus menjadi tontonan umum sehingga mengundang campur tangan perdebatan ramai, anak kepada Datuk Yusof Haslam itu memohon isterinya berhenti daripada berterusan menabur fitnah mengenai dakwaan pernah memukulnya pada 2020.

“Kalau tak suka saya, kenapa sampai tahap perlu memfitnah saya memukulnya. Jangan buat cerita fitnah yang tidak benar jika membenci saya sekali pun.

“Saya ada menghubungi dan beritahu ‘sampai hati awak buat saya macam ini’. Cerita memukul itu pun ada kisah di sebaliknya dan kalau boleh saya tidak mahu ulas perkara itu dengan lebih panjang lebar.

“Bagi saya, perkara yang sudah itu, sudahlah. Saya boleh maafkan dia. Kalau ada ruang untuk berbaik, ayuh kita berbincang,” katanya.

Mengenai bukti mendakwa isterinya masih menghubungi bekas kekasih yang berstatus suami orang hingga dia nekad memfailkan permohonan nusyuz pada Selasa lalu, Syamsul enggan memperincikan perkara berkenaan.

“Berkenaan perkara itu saya belum boleh huraikan lagi. Saya tak mahu main ‘game’ fitnah di sini. Saya enggan bercakap benda yang tidak sepatutnya.

“Saya sendiri pun malu nak bercakap mengenai perkara itu kerana membabitkan aib rumah tangga, jadi tunggu perbicaraan nanti,” katanya.

Pada masa sama, Syamsul turut menolak dakwaan dia mengabaikan isteri pertamanya itu sepanjang empat tahun berdepan konflik.

“Bila saya abaikan dia? Adakah satu pengabaian kepada isteri kalau nafkah saya masih beri, sediakan tempat tinggal dan jaga makan serta minumnya.

“Bukannya saya halau dia keluar rumah, tetapi dia yang keluar dari rumah. Orang tanya kenapa saya tak nak ceraikan dia empat tahun lalu? Jawapan saya mudah saja kerana saya tidak mengabaikannya.

“Anda pun boleh tanya soalan sama kepada dia, kenapa tak minta cerai empat tahun dulu? Kenapa selepas saya berkahwin dan berpoligami baru nak bercerai, sebab masing-masing ada simpan perasaan sayang lagi,” katanya lagi.

Terdahulu proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) membabitkan pasangan ini di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), di sini, hari ini, gagal mencari jalan penyelesaian apabila Puteri Sarah tetap dengan keputusan untuk bercerai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI