PETALING JAYA – Dalam usaha membanteras pengemis warga asing daripada terus merebak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menghadapi beberapa kekangan terutama untuk berurusan dengan golongan tersebut yang kini semakin ramai di Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah JKM, Norazman Othman berkata, pihaknya sendiri turut berhadapan kekangan dalam menguatkuasakan Akta Orang-Orang Papa 1977 terutamanya melibatkan pengemis yang bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi.
Selain itu, JKM turut berdepan cabaran membanteras pengemis warga asing kerana pihaknya bukanlah agensi yang mempunyai kuasa untuk menangani masalah yang membabitkan pengemis bukan warga negara ini, tetapi di bawah bidang kuasa dan agensi lain.

“Kategori pengemis seperti warga asing, penagih dadah dan berpenyakit bukannya khusus di bawah JKM memandangkan Pegawai Kebajikan Masyarakat dan JKM sendiri mempunyai kuasa yang terhad berdasarkan Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183).
“Kami sangat mengharapkan agar semua agensi penguatkuasaan memainkan peranan dan tindakan penguatkuasaan berdasarkan kategori orang papa yang diambil mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah Norazman, akta yang digubal 45 tahun lalu disangkal kerelevenannya dengan era perkembangan yang pantas ketika ini dengan kemungkinan wujudnya sindiket yang lebih terancang dalam melaksanakan aktiviti mengemis dan peningkatan jumlah pengemis.
Jelasnya, perkara seperti ini mungkin tidak berlaku pada masa Akta Orang-Orang Papa 1977 diperkenalkan atau juga tidak menyangka jumlah orang papa akan meningkat jumlahnya seperti yang ada sekarang.
















