fbpx
Laluan kecemasan di lebuh raya utama. - Gambar hiasan

Penunggang motosikal tempah maut guna lorong kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Lorong kecemasan di jalan bandaran atau lebuh raya di seluruh negara bagaikan perangkap maut kepada penunggang motosikal yang sering menjadikan laluan itu sebagai ‘lorong rasmi’ dalam aktiviti harian mereka.

Hampir setiap bulan ada penunggang motosikal yang menggunakan lorong kecemasan terkorban apabila merempuh kenderaan rosak atau berhenti di laluan itu secara tiba-tiba.

Selama ini ramai pengguna motosikal menganggap lorong itu adalah paling selamat selain mampu mengelakkan kesesakan berbanding menggunakan laluan-laluan lain yang ada di jalan raya, sebaliknya tanggapan tersebut ternyata meleset.

Ahli Bersekutu Keselamatan Jalan Raya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, ramai penunggang motosikal beranggapan lorong kecemasan adalah kosong daripada kenderaan lain.

Jelasnya, lorong itu bukan laluan me­nunggang atau memandu kende­raan, sebaliknya digunakan untuk kende­raan rosak berhenti selain kegunaan agensi penguat kuasa selain ambulans.

“Kalau kata lorong kecemasan tidak selamat meletakkan ken­deraan rosak, agaknya hendak letak di mana lagi?

“Sedih kerana masih ramai penunggang motosikal yang masih guna lorong kecemasan sebagai ‘lorong rasmi’ mereka,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata, trend penggunaan lorong itu dalam kala­ngan penunggang motosikal bagi mengelakkan kesesakan menyebabkan banyak kes rempuhan kereta atau lori berlaku.

Gambar hiasan

Katanya, lebih malang apabila mangsa terjatuh atau tercampak di sebelah kanan jalan sehingga digilis kenderaan lain yang tidak sempat membrek.

“Jadi mereka harus lebih peka dengan keadaan sekeliling kerana 80 peratus kemalangan adalah disebabkan kecuaian penunggang motosikal atau pemandu kenderaan,” ujarnya.

Beliau menegaskan adalah wajar kepada pemilik kenderaan yang rosak di lorong kecemasan meletakkan tanda amaran bagi memastikan pengguna lain terutamanya motosikal sedar mengenai bahaya di hadapan.

“Saya syor sediakan dua atau tiga tanda sama ada papan segi­tiga amaran atau kon boleh laras pada jarak-jarak tertentu. Ini termasuk pada jarak pertama sejauh 10 meter dari kenderaan, diikuti 20 meter pada jarak kedua dan seterusnya 50 meter ke atas.

“Sebab itu, kita lihat peronda lebuh raya tidak meletakan satu kon sahaja jika ada kereta atau lori rosak. Lagi banyak tanda amaran diletakkan, lebih mudah orang lain melihatnya terutama pada waktu malam atau puncak,” katanya.

Sementara itu, Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, dianggarkan 4,000 kematian yang berlaku di jalan raya di negara ini dalam setahun, terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal.

Dalam sehari pula, secara purata 60 peratus daripada 17 kematian di jalan raya adalah penunggang motosikal.

“Di Malaysia, kita mendapati tahap risiko kemalangan atau kematian penunggang motosikal adalah 20 kali lebih bahaya berbanding berbanding kereta.

“Ini kerana golongan itu tiada perlindungan berbanding kereta yang mempunyai tali pinggang dan beg udara keselamatan.

“Selain itu, adalah corak pemanduan golongan penunggang motosikal yang suka memotong atau menyelinap di antara celah-celah kereta atau kenderaan berat meningkatkan lagi risiko kemalangan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN