fbpx

Banjir: Johor sedia khidmat sokongan kesihatan mental kepada mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIAN SOON ketika sesi soal jawab pada Persidangan DUN Johor ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri turut menyediakan sokongan perkhidmatan kesihatan mental kepada mangsa banjir khususnya di kawasan terjejas teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, perkhidmatan itu ditawarkan pasukan sokongan kesihatan mental dan psikososial Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

“Perkhidmatan ini turut menyediakan pertolongan cemas psikososial, sokongan intervensi untuk mangsa bencana bagi memerangi isu kesihatan mental yang berpunca daripada krisis seperti banjir yang melanda Johor ketika ini.

“Isu kesihatan mental seperti ini boleh memudaratkan mangsa jika dibiarkan, tanpa sebarang rawatan,” katanya ketika berucap pada sesi soal jawab sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Selamat Takim (BN-Sungai Balang) berhubung usaha JKNJ memerangi masalah mental dalam kalangan rakyat di Johor.

Tian Soon yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng turut memberitahu, terdapat peningkatan dalam kalangan mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental semasa pandemik Covid-19 berbanding tahun sebelum pandemik.

“Kira-kira 28 peratus daripada mereka yang menjalani saringan kesihatan mental pada 2020 menunjukkan keputusan tidak normal, iaitu lonjakan daripada 11 peratus dan 12 peratus masing-masing yang direkodkan pada 2018 dan 2019.

“Namun pada 2021, kira-kira 21 peratus menunjukkan keputusan tidak normal dan pada 2022, ia sekali lagi meningkat semula kepada 28 peratus.

“Trend ini membimbangkan kerana ia menunjukkan punca isu kesihatan mental perlu dikenal pasti dan dikendali dengan baik supaya perkara itu tidak berlarutan sehingga membawa kepada isu kesihatan lain,” jelasnya lanjut.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI