GEORGE TOWN – Tiada lagi istilah malu atau segan buat golongan ibu bapa terutama kategori M40 apabila mereka kini dikatakan antara kumpulan majoriti yang menunggu program pakaian sekolah terpakai yang diberi secara percuma.
Mereka yang ditemui Kosmo! Ahad pada program SKSP Prihatin Jom Ke Sekolah anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seri Permai (SKSP), di sini semalam mengatakan, ini saat paling ditunggu-tunggu ketika berdepan bebanan kos sara hidup.
Mereka yang terdiri daripada pegawai kerajaan dan swasta termasuk yang bekerja sendiri turut meluahkan perkara sama iaitu faktor kewangan menjadi punca utama mereka tersepit ketika ini.
Seorang kakitangan kerajaan yang mahu dikenali Syafiq, 39, berkata, dia terpaksa membuang perasaan malu selama ini semata-mata untuk keselesaan dua anaknya yang bakal memasuki tahun dua dan empat nanti.
Menurut bapa empat cahaya mata itu, pendapatannya kira-kira RM5,000 sebulan kini tidak lagi cukup untuk menampung kos kehidupan harian keluarga termasuk hutang bank serta utiliti bulanan.
“Belum cukup sebulan iaitu seminggu sebelum terima gaji, wang di tangan hanya tinggal RM150 hingga RM200. Mana cukup untuk tampung kami anak beranak.
“Jika 10 tahun lalu, jumlah ini lebih daripada mencukupi. Bayangkan, kali ini saya hanya beli sepasang baju sekolah untuk dua anak dengan jumlah RM120, manakala beg dan kasut masih pakai yang lama,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ujarnya, kos itu belum termasuk lagi perbelanjaan buku sekolah, tambang bas serta duit makan harian.
“Saya memang tunggu program pemberian baju sekolah percuma walaupun ia merupakan barangan terpakai.
“Dahulu memang malu dan tolak untuk terima apa-apa sumbangan termasuk pemberian bantuan kerana beranggapan ada lagi insan lebih memerlukan. Tetapi kali ini, saya orang terawal yang tunggu dan datang ambil kelengkapan sekolah untuk anak,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi waris murid yang mahu dikenali Rina, 40, memberitahu, ketika ini, semua ibu bapa sama ada kategori M40 mahupun T20 sememangnya menantikan peluang keemasan yang diberikan secara percuma khususnya bantuan sara hidup.
“Bayangkan, jika hendak beli baju baharu, kos sudah mencecah lebih RM600 termasuk kelengkapan utama sekolah. Sekurang-kurangnya penganjuran sebegini dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung.
“Keadaan ekonomi sekarang, rakyat sudah tidak malu untuk terima sumbangan atau barangan percuma,” jelasnya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua PIBG SK Seri Permai, Shahrizal Md. Noor berkata, penganjuran program kali kedua selepas kali pertama diadakan tahun lalu adalah permintaan daripada ibu bapa murid-murid terutama daripada kategori M40.
“Ini merupakan kesinambungan penganjuran program tahun lalu. Namun, kali ini kami berjaya sempurnakan hasrat ibu bapa M40 untuk menyediakan pakaian sekolah terpakai beserta pakej gunting rambut percuma sebagai persiapan anak-anak ke sekolah.
“Kali ini, kira-kira 400 pasang baju sekolah termasuk yang masih baharu disediakan oleh ibu bapa berbanding 250 pasang tahun lalu.
“Hari ini, tidak sampai setengah jam program bermula pada pukul 8.30 pagi, jumlah baju yang disediakan semakin susut dan seramai 50 individu hadir awal. Kami terpaksa tambah lagi kuantiti baju di saat akhir,” jelasnya.
Hadir sama pada program tersebut ialah Guru Besar SK Seri Permai, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail.
Ujar Shahrizal, program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa yang majoriti golongan M40.
“Ibu bapa M40 paling mengharapkan program sebegini. Sebelum ini, mereka kelihatan malu untuk datang ambil pakaian sekolah terpakai, namun kali ini melihat raut wajah mereka sudah menggambarkan kesusahan yang dialami, sudah tidak malu.
“Menyedari terdapat golongan miskin bandar di sekolah ini, kami turut menyediakan bantuan membeli buku sekolah untuk keluarga yang memerlukan.
“Setakat ini, lebih 10 ibu bapa meminta untuk berbuat demikian,” katanya jumlah tersebut dijangka meningkat pada minggu kedua sesi persekolahan dibuka mulai esok. -KOSMO! ONLINE














