fbpx

Kes buang al-Quran, polis rakam 14 percakapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmi melawat gerai pameran Program High Profile Policing Bersama Ketua Polis Kuala Lumpur di Esplanade, KLCC tengah hari tadi.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 percakapan telah dirakam bagi membantu siasatan mengesan individu tidak bertanggungjawab membuang 13 naskhah al-Quran ke dalam longkang berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang, pada 18 Februari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya masih berusaha melengkapkan kertas siasatan bagi mengesan individu yang terlibat.

“Setakat ini 14 percakapan termasuk tiga penerbit dan tiga pencetak sudah dirakam percakapan mereka.

“Dukacita kita maklumkan yang kita masih belum mendapat maklumat punca sebenar naskhah al-Quran itu dibuang.

“Usaha kenal pasti serta mengesan pihak yang membuang al-Quran secara tidak berhemah itu sedang dijalankan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Program High Profile Policing Bersama Ketua Polis Kuala Lumpur di Esplanade, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Terdahulu Kosmo! melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakamkan percakapan seramai lapan individu berhubung kes penemuan naskah al-Quran di beberapa lokasi di Lembah Klang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, pihaknya sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dan mengaibkan agama.

“Kes ini juga turut disiasat mengikut Seksyen 298a Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian agama.

“Masyarakat dinasihatkan agar tidak gusar dan mengelak daripada membuat spekulasi kejadian yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada 28 Februari lalu.

Menurut beliau, pihak berkuasa sedang berusaha bagi memastikan pelaku dalam kejadian ini dikesan dan diambil tindakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI