WANITA boleh jadi ketagih jika terhidu asap ganja yang dihembus suami. – GAMBAR HIASAN

Bini jadi penagih lepas hidu asap ganja suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang wanita mengaku dia menjadi penagih ganja selepas kerap terhidu asap bahan khayal itu yang sering dihembuskan oleh suaminya di rumah hingga membuatkan dia menjadi ‘tahi dadah’ selama tujuh tahun.

Sarah (bukan nama sebenar), 43, mendakwa, asap ganja tersebut membuatkan diakhayal dan mula terjebak ketika usia perkahwinan mereka masuk tahun kedua.

Mengimbau semula kejadian kira-kira 13 tahun lalu itu, Sarah mendakwa, dia mengetahui tabiat buruk suaminya sebelum mereka bernikah tetapi tetap mahu berkahwin kerana terlalu mencintai lelaki terbabit.

“Tambahan pula ketika itu suami memaklumkan dadah yang dia ambil tidak bahaya dan hanya untuk menambah tenaga ketika bekerja iaitu hendak mengelak keletihan semasa memandu lori.

“Dari sehari ke sehari saya lihat ketagihan suami terhadap ganja makin teruk dan saya minta di berhenti tetapi dia enggan atas alasan mahu bekerja kuat untuk tambah pendapatan keluarga selain berjanji akan berhenti selepas kehidupan kami stabil,” katanya kepada Kosmo!

Menurut ibu kepada dua anak itu, malang menimpa apabila bukan suaminya semakin ketagih, malah mula menghisap ganja di dalam rumah termasuk menghembuskan asap berkepul-kepul di sebelahnya.

Tambahnya, disebabkan sering menghidu asap ganja dalam tempoh masa yang lama,  dia mula terasa khayal dan terus terjebak untuk menghisap dadah tersebut untuk berasa seronok.

“Sejak itu kami sama-sama hisap ganja di dalam rumah dan keadaan itu berlarutan selama beberapa tahun sebelum suami ditangkap pada 2009 seterusnya ditahan di pusat pemulihan.

“Kejadian itu menimbulkan keinsafan kepada saya yang terus nekad untuk berhenti kerana baru tersedar ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan dan merosakkan badan saya,” katanya.

CONTOH ganja yang diambil Sarah selepas dua tahun melayari alam perkahwinan.

Ujar Sarah, dia sudah lama terputus hubungan dengan suaminya dan kini menumpukan perhatian untuk meneruskan kehidupan bersama dua anaknya yang semakin meningkat dewasa.

Sementara itu, seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Hajar, 43, berkata, dia terlibat dengan dadah jenis heroin kerana tekanan akibat suaminya curang pada 2018.

“Suami merupakan seorang mekanik kenderaan dan terlibat dengan ramai pelanggan termasuk wanita.

“Rumah tangga yang kami bina selama 10 tahun mula goyah selepas saya mendapat tahu dia menjalinkan hubungan dengan ramai pelanggan wanitanya,” katanya.

Kata Hajar, dia juga pernah melihat sendiri suaminya pergi bercuti dengan kekasih di kawasan perkelahan menyebabkan hatinya remuk dan luka.

“Saya pernah ambil minuman keras untuk hilangkan tekanan sebelum beralih kepada heroin yang diperoleh daripada rakan baik selama dua tahun hanya untuk menghilangkan tekanan,” katanya yang tidak mempunyai zuriat.

Bagaimanapun, kata Hajar, tindakan salahnya itu kemudian diketahui oleh keluarganya selepas mereka melihat perubahan ketara daripada segi fizikalnya yang berubah.

“Akhirnya keluarga membawa saya berubat secara tradisional di utara tanah air dan syukur Alhamdulillah dengan kekuatan diri saya kini tidak lagi menagih,” jelasnya.

Tambahnya, dia kini telah berpisah dengan suaminya dan hidup menumpang di rumah keluarganya sambil be­kerja sebagai pembantu kedai makan sebagai sumber pendapatan bagi meneruskan hidup. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN