GAMBAR HIASAN/AFP

Setiap 8 keluarga, ‘lahir’ satu penagih dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 17 penagih baharu dikesan setiap hari di seluruh negara pada tahun lalu dan ia merupakan satu angka yang amat membimbangkan kerana Malaysia akan diwa­risi generasi penagih sekiranya najis dadah tidak dibanteras.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah penagih pada tahun lalu adalah seramai 129,604 orang dan 15 peratus da­ripadanya iaitu 6,480 merupakan penagih baharu.

“Ia merupakan satu jumlah yang besar. Mengikut United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), bagi seorang penagih dadah yang dikesan, terdapat tujuh lagi penagih yang tidak dapat dikesan.

“Jadi mengikut jumlah statistik yang ada, ini bermakna bila­ngan penagih dadah di Malaysia tahun lalu adalah hampir sejuta orang iaitu 907,222,” katanya ketika ditemui dalam wawancara secara eksklusif bersama Kos­mo! Ahad di pejabatnya di Bukit Aman di sini.

Menurut Ayob Khan, data UNODC juga menunjukkan nis­bah penagih adalah seorang bagi setiap lapan keluarga dan bila­ngan itu dijangka meningkat kepada dua penagih bagi setiap lapan keluarga dalam tempoh kira-kira 10 tahun lagi.

Ayob Khan/-GAMBAR-MOHD FAUZI BAHARUDDIN

Katanya, lebih mengecewakan apabila sikap segelintir keluarga yang mengambil pendekatan ‘melindungi’ ahli keluarga mereka yang terjebak dadah berban­ding menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa untuk tujuan pemulihan.

“Tindakan ini bukan sahaja merugikan masa hadapan penagih itu sendiri, malah lebih teruk lagi dikhuatiri menyumbang kepada kes-kes jenayah lain termasuk mengugut atau mence­derakan ahli keluarga sendiri pada masa akan datang,” ujarnya.

Ayob Khan berkata, siasatan pihaknya mendapati, statistik majoriti penagih yang ditahan adalah golongan belia yang berusia antara 18 hingga 30 tahun iaitu seramai 234,121 orang sejak 2018 hingga Februari lalu.

“Jika tidak diatasi, sudah pasti kita akan meninggalkan negara ini kepada generasi penagih dadah,” tegasnya.

Ayob Khan memberitahu, daripada jumlah penagih dadah yang ditahan, sebanyak 25 peratus daripadanya akan mengikuti program pemulihan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada setiap tahun.

Ujarnya, jika dilihat pada ang­ka tangkapan tahun lalu, sejumlah 32,401 penagih dadah mengikuti program tersebut.

“Kos sehari untuk memulihkan seorang penagih dadah adalah RM45, maka kerajaan mem­belanjakan sebanyak RM1.4 juta sehari untuk 32,401 penagih atau RM532 juta setahun,” jelasnya.

Kata Ayob Khan, antara faktor gejala dadah sukar ditangani adalah disebabkan keuntungan besar yang mampu diperoleh oleh sindiket-sindiket.

Menurutnya, keuntungan besar itu yang menyebabkan mereka sentiasa mencari jalan untuk melakukan urus niaga walaupun operasi demi operasi dijalankan pihak berkuasa bagi mengekang kegiatan haram tersebut.

Syabu antara dadah yang sering digunakan penagih negara ini.
– GAMBAR HIASAN

“Kedudukan negara ini yang berada di tengah-tengah telah dimanfaatkan sindiket dengan menjadikan Malaysia sebagai transit dadah termasuk jenis bahan psikoaktif baharu (NPS) dari Eropah, India, Pakistan, Afghanis­tan dan Iran.

“Sindiket juga sentiasa cari kaedah baharu dengan mencampurkannya bersama bahan kimia untuk dijadikan dadah NPS.

“Dadah yang masuk negara ini boleh dikatakan 95 peratus dari sempadan utara Semenanjung. Bagaimanapun, JSJN sentiasa memastikan aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penagihan dibanteras seoptimum yang mungkin,” katanya.

Buktinya pada 2017, JSJN berjaya merampas enam tan dadah bernilai RM198 juta, 9.6 tan dadah bernilai RM394 juta (2018), lapan tan bernilai RM342 juta (2019), 13 tan bernilai RM458 juta (2020) dan 27 tan bernilai RM925 juta (2021).

Selain serbuan besar-besarkan, penekanan turut diberikan dalam Ops Tapis yang dilaksanakan setiap bulan dengan memfokuskan kepada penagih berulang serta tokan.

“Seramai 1,155 penagih berulang ditangkap dalam tempoh empat bulan tahun ini yang dicadangkan untuk dituduh mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mereka berada di penjara sekurang-kurangnya lima tahun, satu tempoh yang lama untuk mengasingkan dengan masyarakat agar tidak terjebak lagi dengan najis dadah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN