fbpx

Memang ada ‘security’ di luar dewan – Roslan Shah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSLAN memaklumkan penganjur ekspo jualan yang disertai mereka di Singapura tidak lepas tangan atas kejadian berdarah menimpa Kamal, malam Ahad lalu. Foto - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Pengacara dan usahawan Roslan Shah yang bersama-sama pelakon Kamal Adli dan Uqasha Senrose semasa kejadian diserang lelaki tidak dikenali pada malam Ahad lalu di sebuah ekspo jualan hari raya di Singapura memaklumkan bahawa terdapat pengawal keselamatan yang menjaga acara tersebut.

Begitupun, Roslan menganggap insiden tersebut sebagai pengajaran dalam hidupnya yang bertanggungjawab membawa Kamal dan Uqasha ke Singapura bagi menyertai Halal Food Expo 2023 dan Hari Raya Mega Sale di Singapore Expo Hall, Singapura.

“Pengawal keselamatan memang ada di luar dewan kerana ketika itu acara hampir tamat pada pukul 10. Insiden pula berlaku antara pukul 9.20 hingga 9.30 malam.

“Selama 18 tahun saya membawa artis tidak pernah pula terjadi sebegini tetapi boleh jadikan pengajaran buat saya.

“Selepas ini, saya perlu memaklumkan kepada pihak penganjur untuk menyediakan pengawal peribadi atau pengawal keselamatan untuk menjaga acara yang dianjurkan,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang akhbar majlis berbuka puasa bersama Khai Bahar, semalam.

Sementara itu, Roslan, 51, memaklumkan bahawa pihak penganjur tidak lepas tangan dan membantu kedua-dua selebriti tanah air itu dari segi kos perubatan serta sokongan mental.

“Wakil pihak pengajur ada datang ke balai dan berjumpa dengan Uqasha serta Kamal untuk memberikan motivasi. Insya-allah perkara ini lambat laun akan reda.

“Penganjur tidak mengabaikan mereka dan membantu dari segi kos hospital seperti jahitan dan pembedahan.

“Semua kos ditanggung oleh mereka termasuk pengangkutan pulang ke Kuala Lumpur,” ujarnya.

Sebelum ini, insiden Kamal diserang di Singapura oleh individu tidak dikenali semasa hari terakhir Karnival Hari Raya Mega Sale 2023, Singapore Expo, Singapura hangat diperkatakan dalam media sosial.

Dia yang dipukul menggunakan cota besi dan senjata tajam pada hari kejadian mengalami kecederaan serius sehingga memerlukannya menjalani pembedahan, namun sudah sedarkan diri dan berada dalam keadaan stabil kelmarin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI