fbpx

Selidik semula cadangan lanjut operasi klinik kesihatan terpilih libatkan GP, doktor kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivanesan bercakap sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. Foto oleh LIYANA RAMLI/ KOSMO!

IPOH – Cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan klinik perubatan am swasta (GP) serta doktor kontrak untuk bekerjasama bagi program lanjutan waktu operasi di 52 klinik kesihatan terpilih seluruh negara perlu diselidik semula dari segi kebertanggungjawaban dalam aspek perundangan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri A. Sivanesan berkata, ia perlu dilaksanakan kerana wujud kemungkinan masalah-masalah terutamanya dari segi akauntabiliti akan timbul.

“Dari segi akauntabiliti, jika berlaku kecuaian, siapa yang akan bertanggungjawab? Pihak kerajaan ataupun pihak swasta?,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan melihat keperluan bagi memanjangkan tempoh operasi klinik kesihatan di beberapa kawasan dan daerah di negeri ini.

“Kita akan melihat keperluan seperti di Bagan Datuk, Gerik, Lenggong dan Hutan Melintang yang setakat ini agak jauh daripada klinik yang telah beroperasi lebih masa jadi saya akan bincang dengan menteri untuk tambahan beberapa klinik kesihatan yang dilihat perlu,” katanya.

Menurutnya, tujuh klinik kesihatan di negeri ini terpilih bagi program lanjutan waktu beroperasi antaranya Klinik Kesihatan Tapah, Klinik Kesihatan Teluk Intan, Klinik Kesihatan Greentown, Klinik Kesihatan Kamunting, Klinik Kesihatan Taiping, Klinik Kesihatan Sitiawan dan Klinik Kesihatan Tanjung Malim.

“Waktu beroperasi bagi klinik-klinik tersebut adalah Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 9.30 malam manakala pada hari Sabtu pada 8 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI