fbpx

[VIDEO] Mahkamah: Hafidz diperintah jalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafidz ketika keluar dari Mahkamah Majistret selepas prosiding kes. FOTO FIRDAUS JOHARI

HULU SELANGOR – Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, di sini sebentar tadi, memerintahkan pelakon Hafidz Roshdi menjalani rawatan dan pemeriksaan psikiatri (mental) di Hospital Bahagia, Tanjong Rambutan Ulu Kinta, Perak.

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan membuat permohonan itu di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dihantar untuk pemeriksaan psikiatri bagi rawatan mental tertuduh.

Mahkamah juga memerintahkan supaya tertuduh ke Hospital Bahagia pada 28 Mac ini dan tidak menganggu mangsa selain pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM4,000 dan tarikh 9 Jun ini ditetapkan bagi sebutan semula kes selain laporan psikiatri tertuduh,” kata hakim itu.

Terdahulu Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, di sini dua minggu.

Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, di sini pukul 3.22 pagi pada 2 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Sementara itu, Hafidz ketika dibawa anggota untuk membayar jamin hanya diam dan tidak memberi sebarang respon ketika dikerumuni pihak media yang bertanyakan mengenai kesnya.

Sebelum ini, aktor itu ditahan bagi membantu siasatan dalam kejadian menumbuk isterinya ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Bagaimanapun, pelakon yang popular dengan drama “Tundukkan Playboy Itu” dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.

Terdahulu, media melaporkan seorang ahli seorang ahli keluarga Shuhada mengesahkan wanita itu menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga mengalami kecederaan pada bahagian muka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI