fbpx

Platform bina kerjaya dalam bidang penerbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Buku Aviation Industry for Malaysian turut dilancarkan sempena program ACM pada tahun ini.

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia sebelum ini ternyata memberi kesan kepada pelbagai industri termasuk penerbangan.

Namun, setelah dunia beransur pulih daripada wabak tersebut, industri penerbangan kini kembali ‘bernyawa’ dengan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan.

Dalam mencari bakat baharu yang memiliki kemahiran dalam industri tersebut, YEG Academy (M) Sdn. Bhd. (YEG Academy) dengan kerjasama sebuah Sekolah Penerbangan dan Hospitaliti, Kolej Meatech telah menganjurkan program Aviation Career Malaysia (ACM).

Matlamat program itu adalah untuk mengetengahkan pengajian dalam bidang penerbangan yang semakin berkembang serta menjadi tarikan kepada ramai anak muda ketika ini.

Pengarah Pemasaran YEG Academy, Azizulhakim Suhaimi berkata, pihaknya dapati ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat untuk menyambung pelajaran kerana tertarik untuk terus bekerja.

Menurutnya, memandangkan industri penerbangan kini semakin pulih, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan program ACM dengan mengetengahkan diploma dalam bidang penerbangan.

“ACM merupakan platform sambung belajar yang telah diinovasi supaya lebih relevan kepada pelajar lepasan SPM.

“Diploma dalam bidang penerbangan ini mampu memberikan pengalaman dan kemahiran terbaik.

“Ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada golongan lepasan SPM untuk bersaing dalam industri berkenaan,” katanya.

CHE ROZAINA (dua dari kanan) sewaktu merasmikan program ACM di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kegusaran para pelajar untuk mendapatkan pekerjaan setelah selesai pengajian juga dapat ditangani kerana industri penerbangan semakin berkembang.

Banyak syarikat penerbangan memerlukan lebih ramai tenaga mahir bagi mengisi kekosongan kerja.

Azizulhakim menjelaskan, mereka menjalinkan kerjasama Kolej Meatech bagi membolehkan program itu dilaksanakan dengan jayanya.

“Kolej Meatech mempunyai kepakaran dalam menawarkan pengajian dalam bidang penerbangan sejak sekian lama.

“Tugas kami adalah mencari pelajar yang berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang ini.

“Pelajar akan dihantar ke kolej dan mereka akan belajar mengikut bidang pengajian masing-masing.

“Selepas tamat pengajian, mereka akan dilepaskan kepada pihak industri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Sekolah Penerbangan dan Hospitaliti, Kolej Meatech, Che Rozaina Azizan berkata, kolej tersebut telah berada di dalam industri pendidikan dan latihan selama 20 tahun.

Katanya, pihak kolej telah berjaya melatih ramai pelajar sama ada dari dalam dan luar negara bagi memenuhi pasaran pekerjaan bagi sektor penerbangan.

Menurutnya, institusi itu juga telah mencapai akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Lembaga Teknologis Malaysia untuk program yang ditawarkan.

“Program yang kami tawarkan kepada para pelajar merangkumi Diploma Teknologi Kejuruteraan Pesawat, Diploma Pengurusan Kargo dan Diploma Pengurusan Operasi Penerbangan.

“Selain itu, kami telah ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Ini membolehkan kami menawarkan Program Pensijilan Kemahiran Malaysia untuk latihan bertauliah dan latihan jangka pendek,” jelasnya.

Sementara itu, Che Rozaina menambah, melalui program yang ditawarkan, pihaknya telah berjaya merealisasikan impian anak watan untuk membina kerjaya dalam industri penerbangan.

Ramai pelajar yang mendapat latihan di situ berjaya memperoleh pekerjaan di syarikat penerbangan terkemuka tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI