fbpx

Rela, sukarelawan kutip 500 kg sampah di Pantai Senok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian sukarelawan dan anggota Rela menunjukkan bungkusan plastik sampah seberat 500 kg yang dikutip di Pantai Senok, Bachok hari ini. FOTO TOREK SULONG/KOSMO!

BACHOK – Seramai 100 sukarelawan daripada pelbagai agensi bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kelantan mengutip sebanyak 500 kilogram (kg) sampah dalam program gotong-royong membersih pesisir Pantai Senok di sini hari ini.

Pengarah Rela Kelantan, Muhamad Aimran Hakim Abdul Alim berkata, program tersebut dianjurkan bersama Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Daerah Bachok sempena sambutan Hari Bumi 2023 dalam usaha mengekalkan kebersihan alam sekitar.

Menurutnya, 500 kg sampah itu dikutip hasil daripada sisa-sisa buangan pengunjung pantai seperti cawan, pinggan plastik dan penyedut minuman.

“Program ini merupakan salah satu aktiviti tahunan yang dilaksanakan bagi menimbulkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan persekitaran yang bersih selain memberi kesedaran mengenai tabiat buruk membuang sampah di merata tempat.

“Ia juga mendidik masyarakat setempat untuk terus menjaga dan memulihara alam sekitar demi kelestarian alam khususnya keindahan pantai yang menjadi tempat kunjungan ramai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Muhamad Aimran Hakim memberitahu, anggota Rela sentiasa tanggungjawab untuk mendidik dan menegur orang ramai yang membuang sampah di lokasi yang tidak sepatutnya.

Katanya, keindahan Pantai Senok yang popular dengan panggilan Pulau Nami Kelantan tidak sepatutnya tercemar akibat tabiat pengunjung yang gemar membuang sampah merata-rata. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI