fbpx

Lelaki bujang didakwa ubah wang haram RM1.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (tengah) ketika diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini. Gambar oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan RM1.2 juta.

Tertuduh, Choo Peng Hoong, 41, walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian memegang jawatan pengarah syarikat Choo Marketing Sdn. Bhd. didakwa memindahkan sejumlah wang dipercayai hasil aktiviti haram berjumlah RM1.2 juta daripada akaun bank syarikat ke sembilan akaun lain.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di cawangan Maybank Berhad di Taman Inderawasih, Jalan Chain Ferry di sini antara 11 Mac hingga 24 Mac 2020.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 4(1)(b) dibaca bersama seksyen 87(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.

Noor Aini kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM54,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah. Mahkamah menetapkan 28 April depan bagi serahan dokumen serta sebutan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI