fbpx

Thailand dilanda jerebu, 200,000 orang masuk hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kelmarin menunjukkan Bangkok diliputi jerebu akibat pencemaran udara. – AFP

BANGKOK – Hampir 200,000 orang dimasukkan ke hospital di Thailand kerana pencemaran udara pada minggu ini, kata beberapa pegawai ketika kota  Bangkok diselubungi jerebu berbahaya.

Bangkok yang mempunyai 11 juta penduduk dan merupakan antara destinasi pelancongan paling popular di dunia telah diliputi  jerebu selama beberapa hari, dipercayai berpunca daripada campuran asap kenderaan, pelepasan industri dan pembakaran tanah pertanian.

Lebih 1.3 juta orang jatuh sakit di Thailand akibat pencemaran udara sejak awal tahun ini, dengan hampir 200,000 dimasukkan ke hospital pada minggu ini sahaja, demikian menurut Kementerian Kesihatan Awam.

Doktor kementerian berkenaan, Kriangkrai Namthaisong semalam  menggesa kanak-kanak dan wanita hamil supaya berada di  rumah.

“Sesiapa sahaja yang berada di kawasan terbuka perlu memakai topeng antipencemaran N95 berkualiti tinggi,” katanya.

Ketika kemuncak pencemaran berlaku pada akhir Januari dan awal Februari lalu, pihak berkuasa di bandar-bandar  menggesa orang ramai untuk bekerja dari rumah.

Jurucakap Gabenor Bangkok,  Chadchart Sittipunt berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengeluarkan satu lagi perintah serupa jika keadaan menjadi lebih teruk.

Kementerian Kesihatan Awam berkata, sebanyak  50 daerah di Bangkok semalam merekodkan paras tidak selamat zarah halus paling berbahaya dinamakan PM2.5,  manakala kandungan pencemaran itu hari ini  turut jauh melebihi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Paras PM2.5 telah melebihi had selamat untuk kebanyakan kawasan di Bangkok sejak tiga hari lalu, demikian menurut jabatan kawalan pencemaran kerajaan.

Keadaan menjadi  lebih teruk di bandar Chiang Mai, utara Thailand di mana petani membakar tunggul tanaman pada masa ini. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI