PETALING JAYA – Peluang bekerja dengan majikan tempatan selama bertahun-tahun lamanya telah membuka peluang kepada warga asing untuk menguasai pelbagai bidang kemahiran yang mampu menjana pendapatan.
Antara bidang kemahiran yang kini dikuasai oleh golongan berkenaan termasuklah membaiki pendingin hawa, kereta, pemasangan paip serta menjahit pakaian.
Warga Bangladesh, Munir, 28, berkata, dia kini berjaya menjadi tauke dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai termasuk membaiki dan mengecat rumah.
Katanya, dia telah berada di negara ini sejak 2017 dan hanya mengambil masa kurang daripada dua tahun untuk menguasai kemahiran tersebut ketika bekerja dengan beberapa majikan tempatan.
“Sebelum ini saya hanya kerja di pasar dengan gaji yang sangat rendah. Selepas itu, saya buat kerja sambilan dalam sektor pembinaan termasuk sebagai buruh kasar.
“Dari situ saya belajar pelbagai kemahiran seperti membaiki pendingin hawa, mengecat rumah dan pemasangan paip.
“Petua saya hanya satu, iaitu jujur ketika memberikan perkhidmatan dan menyiapkan semua tempahan pelanggan mengikut masa yang ditetapkan,” ujarnya.
Herman Supardi, 40, yang berasal dari Indonesia pula memilih untuk menjalankan bisnes kecil-kecilan dengan mengambil upah membaiki kereta pelanggan dari rumah ke rumah.
“Impian saya ialah mahu membuka bengkel sendiri, tetapi modal belum mencukupi. Ketika ini, saya masih bekerja dengan majikan di sebuah bengkel di Cheras dan dalam masa yang sama, mahu mempelajari segala ilmu berkaitan kereta,” katanya.
Berkongsi cerita sama, Salima, 35, kini berbangga apabila mampu membuka kedai jahit sendiri hasil pengalaman selama empat tahun bekerja di sebuah kilang baju.
“Banyak perkara yang perlu diuruskan bila menguruskan kedai sendiri, tetapi pendapatannya juga sangat lumayan,” ujarnya.














