SORAKAN orang ramai boleh didengari jelas dari dalam Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok, Thailand pada malam 24 Februari lalu.
Di dalam sebuah gelanggang tinju kecil, wajah atlet Muay Thai negara, Muhammad Johan Zulfikar, 16, kelihatan serius ketika berdepan dengan lawannya dari Thailand, Padetsuk Fairtex, 18, pada Kejohanan ONE yang berlangsung di stadium tersebut.
Dalam satu pertembungan Muay Thai kalah mati itu, Muhammad Johan hanya mengambil masa 16 saat untuk menyingkirkan atlet tuan rumah menerusi pukulan ‘knockout’ (KO).
Fairtex tumbang selepas Muhammad Johan menggabungkan gerakan mencangkuk pihak lawan dengan menggunakan tangan kiri dan kanan.
Video memaparkan aksi tersebut seterusnya menjadi tular dan nama Muhammad Johan kini semakin dikenali ramai.
Lebih manis lagi, kemenangan itu juga membuatkan anak kelahiran Sarawak itu berjaya membawa pulang wang bonus berjumlah 350,000 baht (RM44,533) sebagai hadiah prestasi yang memberangsangkan.
Biarpun mencatat rekod cukup mengagumkan, anak kedua daripada empat beradik itu cukup merendah diri dan tidak putus-putus mengucapkan terima kasih, terutamanya kepada jurulatihnya, Addy Singpayak.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih terutama sekali kepada jurulatih saya, Addy Singpayak yang telah menjaga saya.
“Beliau juga merupakan seorang jurulatih yang cukup berdedikasi dan memastikan saya berlatih secara konsisten,” katanya.
Kongsi anak berdarah kacukan Melayu-Amerika Syarikat itu lagi, dia yang mewakili kelab Rentap Muay Thai di Kuching secara peribadinya tidak menyangka berjaya mencatat pencapaian itu, yang merupakan satu rekod yang mengagumkan.
Ujarnya, dia tidak menyangka berjaya menumpaskan pihak lawan secepat 16 saat, namun bersyukur kerana merekodkan pencapaian membanggakan itu.

“Saya sejujurnya tidak menyangka berjaya menumbangkan lawan ‘sepantas’ 16 saat.
“Pada asalnya, saya menjangkakan ia akan dicapai pada pusingan kedua atau pada bahagian hujung perlawanan. Begitu pun, ia berlaku pada peringkat awal dan dalam tempoh yang cukup pantas.
“Jika dikira dalam minit, satu pusingan mengambil masa tiga minit dan saya menjangkakan sekiranya lawan saya tumbang pun, ia mungkin berlaku pada minit-minit akhir sesuatu pusingan itu,” ujarnya kepada K2. Biarpun berdarah kacukan, dalam perbualan itu, remaja lelaki tersebut banyak berbahasa Melayu.
Tahun lalu, Muhammad Johan memenangi kejuaraan kategori 14-15 tahun (bawah 60 kilogram) pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022.
Dia juga sudah berkecimpung dan meminati sukan Muay Thai sejak zaman kanak-kanaknya lagi, bersama dengan abangnya, Elias dan adiknya, Mikail yang turut menyertai sukan sama.
Ujar Muhammad Johan, dia sudah lama mengimpikan untuk menyertai kejohanan anjuran ONE, yang merupakan organisasi seni mempertahankan diri terbesar di dunia, meliputi sukan-sukan seperti Muay Thai, tinju dan juga seni bela diri campuran (MMA).
Siapa sangka, peluang pertama menyertai Kejohanan ONE turut datang bersama kemenangan dan rekod baik buat Muhammad Johan, yang menganggapnya sebagai satu rezeki atau tuah yang tidak terduga.
“Pencapaian saya pada kejohanan itu adalah satu rezeki tidak terduga buat saya dan saya amat bersyukur,” ujarnya.
Selain mensyukuri rezekinya, Muhammad Johan juga berkata, latihan intensif yang dijalaninya sebagai persiapan untuk kejohanan itu turut menjadi rahsia kejayaannya.

Remaja berkulit sawo matang itu berkata, dia menjalani latihan intensif selama sebulan setengah serta mengamalkan pemakanan yang sihat bagi membolehkan dia mempunyai stamina yang baik.
“Dari segi latihan, saya bersama jurulatih banyak memberi fokus kepada latihan tinju dan juga latihan-latihan yang bertujuan untuk menguatkan otot-otot tangan.
“Antaranya adalah melakukan latihan angkat berat yang sememangnya membantu untuk menjadikan otot tangan lebih kuat,” katanya.
Muhammad Johan turut berkongsi terpaksa menurunkan berat badan sekitar lima kilogram sebelum kejohanan tersebut.
“Saya turut menjaga pemakanan dengan mengurangkan makanan tinggi karbohidrat dan melebihkan makanan yang berprotein.
“Ini kerana saya perlu menurunkan berat badan antara empat hingga lima kilogram, selain perlu mendapatkan otot-otot yang lebih lean,” katanya.
Pencapaian mengagumkan dalam apa jua bidang sekali pun yang berjaya dicatat pada peringkat awal, adakalanya boleh menjadikan seseorang itu berasa tertekan kerana sudah mewujudkan satu harapan tertentu.
Namun, bagi Muhammad Johan, dia tidak berasa tertekan, sebaliknya menjadikan pencapaian itu sebagai satu bentuk motivasi kepada dirinya.
“Saya tahu adakalanya apabila kita merekodkan satu pencapaian cemerlang pada peringkat awal, mudah untuk kita meletakkan satu expectation pada diri sendiri.
“Namun, bagi saya, saya akan menggunakan pencapaian 16 saat itu sebagai satu bentuk motivasi untuk saya berlatih lebih kuat lagi,” ujarnya.
Kongsi Muhammad Johan lagi, dia ketika ini sedang menyambung latihan harian seperti biasa dan mungkin akan menyertai kejohanan lain selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.
“Buat masa ini, saya menjalani latihan harian seperti biasa bagi memberi laluan kepada ibadah puasa yang akan disambut tidak lama lagi dan juga sambutan Aidilfitri.
“Sekiranya saya mahu menyertai kejohanan lain kelak, ia mungkin akan berlaku selepas Aidilfitri nanti,” ujarnya menutup bicara.














