fbpx

Digantung punca Shuib tak sertai SRL, Jep tawar hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEP mendedahkan punca ketiadaan Shuib dalam SRL berpunca daripada tindakan penggantungan daripada pihak Astro.

PETALING JAYA – Sekian lama mengunci mulut berhubung ketiadaan Shuib dalam Sepahtu Reunion Live (SRL), rakan seperjuangan, Jep mendedahkan segala-galanya berpunca daripada tindakan penggantungan pihak Astro.

Katanya, ketika itu Shuib digantung daripada menyertai SRL selama dua minggu susulan babak yang dibawakannya didakwa berunsur lucah sehingga menerima kecaman ramai.

Menurut Jep atau Muhd Nadzri Zainal Abidin, 37, bertegas, dia bukan kemaruk publisiti namun terpaksa menghentikan ‘drama’ bagi mengelakkan spekulasi terus bertebaran yang boleh mencetuskan fitnah.

“Saya akan bagi tahu kenapa dia tiada dalam SRL bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan andaian yang boleh menjadi fitnah kerana jawapan dia tergantung dan sentiasa berubah-ubah.

“Ceritanya bermula apabila ada babak yang dimainkan dalam SRL mendapat kecaman teruk penonton iaitu aksi lucah berlaku ketika babak dia sedang mesin kelapa.

“Jadi pihak Astro mengeluarkan arahan untuk dia meminta maaf secara terbuka, selain dikenakan tindakan penggantungan selama dua minggu.

“Tindakan itu juga sebagai peringatan kepada kami. Ini kerana SRL tontonan keluarga dari pelbagai lapisan umur. Setelah meminta maaf, dia masih tidak puas hati,” tulisnya di Instagram.

Susulan itu, Jep mendakwa Shuib tidak meneruskan baki 50 episod SRL sekiranya masih digantung dan dia bersama rakan lain terpaksa meneruskan program tanpanya.

Katanya lagi, mereka tidak pernah memujuk penyampai radio tersebut, namun ada mempelawanya untuk muncul semula dalam program berkenaan yang kemudian ajakan tersebut dibiarkan tergantung tanpa sebarang jawapan.

“Dia memberi kata dua sekiranya masih digantung selama dua minggu, dia memilih untuk tidak meneruskan lagi baki 50 episod.

“Tidaklah kami melutut memujuk tapi kami tanya, pelawa dan jemput semula. Kami tunggu keputusannya tetapi senyap tiada berita. Mahu tak mahu kami teruskan juga tanpa dia,” tambahnya.

Akui pelakon dan penyampai radio itu, Sepahtu memang tidak pernah membuang Shuib, sebaliknya mereka tertunggu-tunggu kehadirannya ketika pelbagai kenyataan berbeza muncul.

“Peminat terus menerus bertanya. Tiada kenyataan sebenar atas apa yang dikeluarkan. Sering dibuat kenyataan tergantung, kenyataan yang mendatangkan tanda tanya. Saya perhati saja.

“Pada fikiran saya tak perlu saya ikut campur, itu keputusan dia. Terpulang, Sepahtu tidak pernah buang dia malah pada satu waktu kami yang tertunggu dia kembali.

“Di saat dia nyatakan rehat dari dunia hiburan dan enggan buat rancangan apa pun, satu per satu rancangannya keluar. Buatkan
kami termangu-mangu,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, pelakon filem Sepah The Movie itu mengakui tawar hati namun tidak berdendam atau marah, sebaliknya mendoakan kejayaan rakan yang bersama sejak menyertai Raja Lawak musim ketiga.

“Tak apalah. Kini hati pun telah tawar. Waktu berlalu pergi. Kisah kami yang indah saya simpan sendiri. Janganlah ditanya, diasak suruh bersama lagi.

“Tidak ada sedikit rasa marah dan dendam cuma kenyataan untuk pembetulan. Walau tidak bersama Sepahtu, doa saya tetap bersama dia. Di mana pun dengan siapa pun. Semoga berjaya,” kongsinya.

Pendedahan ini dibuat susulan kenyataan terkini artis sensasi berusia 38 tahun itu yang mendakwa tiada percubaan memujuknya menyertai SRL.

Baru-baru ini pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad itu muncul pula dalam program sketsa komedi Ubi Superstar Live yang juga terbitan Astro dianggotai Fad, Sharif Zero dan Namie. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI