fbpx

Bapa, anak penyamun dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar daripada rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan suspek bersenjatakan samurai menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Sultan Tengah pada 3 Mac lalu.

KUCHING – Dua beranak dicekup selepas menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Sultan Tengah di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata kedua-dua suspek ditangkap pada 4 Mac lepas, selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 11.52 malam, 3 Mac lalu.

Katanya kedua-dua suspek yang berumur 65 dan 37 tahun merupakan bapa dan anak.

“Semasa kejadian, suspek yang bersenjatakan samurai telah melarikan wang tunai sebanyak RM150 dan satu pemetik api.

“Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Balai Polis Gita berjaya menangkap kedua-dua suspek di dua lokasi berasingan iaitu di Taman Sourabaya Indah dan Bandar Baru Semariang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahsmon menambah pihak polis juga berjaya merampas senjata yang digunakan suspek semasa kejadian iaitu sebilah pedang samurai serta pakaian dan kenderaan.

Katanya dua beranak itu ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 Mac ini untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Namun begitu, hasil saringan air kencing mendapati suspek berusia 37 tahun positif dadah jenis Amphetamine/ Methamphetamine,” katanya.

Ahsmon berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI