PADA pandangan kebanyakan orang, bertugas sebagai pengawal keselamatan merupakan perkara mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Bagi mereka, tugas pengawal keselamatan sangat ringan kerana hanya perlu ‘meronda’ di sekeliling kawasan bangunan dan memastikan keadaan premis yang dijaga sentiasa selamat.
Malah, ada pandangan yang menyatakan bertugas sebagai pengawal keselamatan menguntungkan kerana boleh melelapkan mata sementara menunggu waktu ronda seterusnya.
Namun bagi Zaini (bukan nama sebenar), kerjaya sebagai pengawal keselamatan sangat mencabar dan tidak semudah seperti yang dianggap oleh kebanyakan orang.
Katanya, selain memikul tanggungjawab memastikan premis berada dalam keadaan selamat, pengawal keselamatan juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang mungkin tidak dihadapi oleh orang lain.
Katanya, antara perkara terpaksa dihadapi oleh seorang pengawal keselamatan adalah kejadian-kejadian mistik dan seram yang berlaku terutama pada waktu malam.
“Saya sendiri pernah mengalami kejadian seperti itu ketika bertugas di sebuah bangunan pejabat di Selangor beberapa tahun lalu.
“Ketika itu, saya baru memulakan kerjaya sebagai pengawal keselamatan. Saya telah diberi tugas menjaga bangunan berkenaan bersama beberapa petugas lain.
“Disebabkan kawasan bangunan tersebut agak besar, seramai lima orang akan bertugas pada waktu malam.
“Setiap orang mempunyai kawasan rondaan masing-masing,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Zaini berkata, kejadian menyeramkan tersebut berlaku ketika diarahkan membuat rondaan di sebuah pejabat yang terletak di hujung bangunan.
Disebabkan sudah beberapa bulan meronda kawasan berkenaan, Zaini terus mengambil lampu suluh dan alat pengunci masa sebelum terus melaksanakan tugasnya.
“Ketika itu, jam menunjukkan pukul 12 tengah malam. Ketika hampir tiba di hujung bangunan, saya ada ternampak kelibat seperti seorang wanita sedang memasuki pintu lif.
“Tanpa mengesyaki apa-apa, saya terus menghampiri lif berkenaan dengan hasrat ingin bertemu dengan wanita terbabit untuk bertanyakan tujuannya memasuki pejabat pada waktu tengah malam, selain ingin memastikan keselamatannya.
“Sebaik tiba di depan lif, pintu sudah tertutup. Lif itu dilihat berhenti di tingkat lima yang menempatkan sebuah pejabat,” jelasnya.
Menurut Zaini lagi, sebaik pintu lif terbuka, dia terus masuk dan menuju ke tingkat lima bagi mencari wanita tersebut.
Katanya, sebaik tiba di hadapan pintu pejabat, dia mendapati pintu jeriji masih dikunci dengan mangga, selain tiada sebarang tanda ada petugas berada di dalamnya.
Dia yang kehairanan membuka pintu tangga kecemasan yang menghubungkan setiap tingkat di bangunan tersebut.
Dia mendapati pintu di tingkat enam yang menempatkan kawasan bumbung terbuka dan hatinya mula berasa gemuruh.
Dengan perasaan takut bercampur gementar, Zaini memberanikan diri menuju ke arah bumbung bangunan bagi mencari wanita berkenaan.
“Ketika di bumbung, saya dapat melihat dengan jelas kelibat wanita menaiki lif tadi berada di atas tembok konkrit. Dia seolah-olah ingin terjun untuk bunuh diri.
“Tanpa memikir apa-apa, saya terus berlari dan merapati wanita tersebut dengan niat untuk menyelamatkan nyawanya.
“Pada jarak kira-kira lima meter sebelum merapati wanita tersebut, tiba-tiba dia berpaling ke arah saya.
“Ketika itu, saya dapat lihat dengan jelas keadaan mukanya yang hodoh dan bermata merah, tidak seperti ketika melihat kelibatnya memasuki lif sebelum ini,” katanya.
Terkejut dengan apa yang disaksikannya itu, dia terus berlari menuju ke arah pintu untuk turun semula ke tingkat bawah.
Lebih menyeramkan kata Zaini, kelibat wanita yang menyerupai lembaga hodoh itu turut berada di tingkat bawah dan sedang memerhatikannya.
Disebabkan itu, dia terus berlari sekuat hati menuju ke tempat rakan-rakannya berada.
“Sebaik tiba di pondok pengawal keselamatan, saya terus mendapatkan rakan-rakan dan menceritakan kejadian yang berlaku.
“Salah seorang daripada mereka memberitahu pernah berhadapan dengan situasi sama beberapa bulan lalu, tetapi tidak menceritakannya kepada sesiapa.
“Sejak kejadian itu, semua pengawal keselamatan yang bertugas pada waktu malam telah membuat persetujuan untuk melakukan rondaan secara bersama,” jelasnya.
















